131 tahanan Rohingya merusuh roboh kawad duri, tiada anggota cedera

Depot Imigresen Sementara Bidor
Depot Imigresen Sementara Bidor
A
A
A

TAPAH - Kumpulan 131 pendatang asing tanpa izin (PATI) didapati telah melakukan rusuhan dan merobohkan pagar serta kawad duri sebelum melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor di sini pada Khamis.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, rusuhan tersebut bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan kepada anggota keselamatan dalam insiden itu.

Mohd Yusri bertemu dengan pasukan PGU yang turut membantu dalam operasi mengesan tahanan yang melarikan diri.
Mohd Yusri bertemu dengan pasukan PGU yang turut membantu dalam operasi mengesan tahanan yang melarikan diri.

Menurut beliau, pihaknya percaya kumpulan ini tidak gerak jauh dari lokasi kejadian apabila mereka melarikan diri dalam keadaan sehelai sepinggang.

"Mereka tidak membawa apa-apa keperluan diri, wang dan makanan.

"Kita percaya dengan keadaan itu dan kekuatan semua agensi, pelarian-pelarian ini akan dapat kita tahan semula.

"Selain itu, pencarian melibatkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Sukarelawan (Rela) dan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) serta dibantu Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman," katanya pemberita selepas mengadakan lawatan ke Depot Imigresen Sementara Bidor di sini pada Jumaat.

Anggota polis melakukan pemeriksaan pada sekatan jalan raya di Jalan Pahang, Tapah sebagai usaha mengesan tahanan Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor.
Anggota polis melakukan pemeriksaan pada sekatan jalan raya di Jalan Pahang, Tapah sebagai usaha mengesan tahanan Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor.

Mohd Yusri berkata, setakat ini tiada tangkapan semula dilakukan dan operasi mengesan baki 130 pelarian PATI etnik Rohingya itu tertumpu radius sekitar Bidor termasuk penempatan penduduk.

Artikel Berkaitan:

"Pencarian kita menjurus sekitar kawasan depoh ini dahulu terutama di ladang kelapa sawit di samping kawasan seberang laluan lebuhraya ini yang kawasan hutan kecil berhampiran depot ini.

"Selain itu, sebanyak tujuh sekatan jalan raya (SJR) didirikan di kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, dibantu oleh IPD di daerah berdekatan termasuk Kampar, Muallim dan Hilir Perak. Kita akan menambah lagi jika mengikut keperluan," katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada masyarakat agar tidak memberi pelindungan kepada pelarian terbabit.

"Saya nasihatkanlah orang ramai supaya tidak bersekongkol atau memberikan simpati kepada pelarian-pelarian ini kerana mereka juga boleh didakwa kerana memberikan kerjasama atau bersubahat dengan mereka.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 223/224 kanun sama," katanya.