PN anjur siri demo bantah petisyen cabar enakmen syariah

Tuan Ibrahim (tengah) bersama ahli-ahli Parlimen PN pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Rabu
Tuan Ibrahim (tengah) bersama ahli-ahli Parlimen PN pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Rabu
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) akan menganjurkan siri perhimpunan bagi membantah petisyen dua individu yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perhimpunan tersebut akan diadakan pada 16 November di Terengganu, 18 November di Kelantan diikuti perhimpunan munajat pada 20 November depan di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga memaklumkan, pihaknya telah menerima memorandum 'Gerakan Selamatkan Syariah' daripada lebih 300 badan bukan kerajaan (NGO) berhubung isu berkenaan.

"PN mengambil serius cabaran terhadap mahkamah syariah yang bermula dari kes Iki Putra yang diputuskan oleh mahkamah dan Nik Elin serta beberapa kumpulan yang telah bawa kes sama, mencabar undang-undang syariah di Kelantan.

“Dalam perbahasan di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Kota Bharu (Datuk Seri Takiyuddin Hasan) telah membangkitkan persoalan penting supaya Menteri Agama (Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar) mencelah dalam perbicaraan terhadap kes ini kerana memberi implikasi kepada seluruh undang-undang syariah seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Rabu.

Sebelum ini media pada 25 Februari 2021 melaporkan, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan Iki Putra mencabar keabsahan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 berhubung kesalahan seks luar tabii.

Sementara itu dalam cabaran terhadap peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dibuat oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman terhadap kerajaan Kelantan tahun lalu, mereka juga mahu mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu terbatal dan tidak sah.

Dalam pada itu Tuan Ibrahim menegaskan, isu perundangan Islam melibatkan akidah tidak boleh dikompromi kerana ia ketetapan ALLAH SWT yang melibatkan syariat serta agama Islam.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, hal tersebut juga melibatkan bidang kuasa Raja-Raja dengan memetik titah Sultan Selangor berkenaan kebimbangan baginda terhadap tekanan ke atas sistem perundangan syariah negara.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, sekiranya pada 20 November ini Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan yang difailkan Nik Elin, kesemua enakmen berkaitan jenayah syariah di 14 negeri turut dianggap terbatal.

"Isu seumpama ini perlu dianggap sebagai 3R yang menyentuh agama, institusi raja dan bangsa tetapi tidak ada apa-apa tindakan walaupun laporan telah dibuat.

"Isu ini adalah isu rakyat yang merentasi parti politik dan kepentingan awam, itu kita nak tekankan," ujarnya.