Kerajaan akan sentiasa pertahan institusi kehakiman syariah

Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. - Foto Bernama.
Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. - Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan sentiasa mempertahan serta menambah baik institusi kehakiman syariah di Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sentiasa bekerjasama rapat bersama pihak berkuasa agama Islam negeri, termasuk institusi perundangan dan kehakiman syariah negeri yang terletak secara mutlak di bawah Sultan dan Raja Pemerintah setiap negeri.

Katanya, jabatan itu juga telah merangka agenda memperkasa institusi mahkamah syariah melalui Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah, yang telah diperakukan sebagai sebuah Jawatankuasa di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

"Justeru, penting untuk umat Islam di Malaysia mengetahui bahawa, menjadi keutamaan saya sejak dari dahulu ketika menjadi Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), untuk meletakkan kehakiman syariah di tempat yang tinggi dan terhormat.

"Apatah lagi kini saya selaku Menteri Hal Ehwal Agama, tentulah ia terus menjadi agenda utama dalam pentadbiran saya,” katanya menerusi kenyataan mengenai kes Nik Elin Zurina Lawan Kerajaan Negeri Kelantan.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata, sebarang komentar mengenai kes berkenaan, diklasifikasikan sebagai sub-judice kerana ia masih di peringkat prosiding di Mahkamah Persekutuan.

Beliau juga menyeru semua pihak, khususnya pihak berkuasa agama Islam negeri, badan-badan berkanun berkaitan agama Islam dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai kepentingan terhadap agama Islam, untuk terlibat sama ada sebagai pencelah, peguam pemerhati atau sahabat mahkamah pada prosiding kes itu.

"Usaha bagi memartabatkan undang-undang syariah, merupakan tanggungjawab bersama semua pihak,” katanya.

Mohd Na’im berkata, Badan Perundangan Negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang kesalahan jenayah syariah, bagi kesalahan-kesalahan yang berhubung dengan pelanggaran Rukun Islam di bawah peruntukan Jadual Kesembilan, Senarai Dua, Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, peruntukan tersebut juga telah diperkenan oleh Sultan dan Raja Pemerintah di setiap negeri sebelum dikuatkuasakan.

Menurut kenyataan JKSM minggu lepas, kes Nik Elin Zurina Lawan Kerajaan Negeri Kelantan melibatkan cabaran kepada kuasa Badan Perundangan Negeri untuk menggubal peruntukan undang-undang syariah di bawah Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. - Bernama.