Kenyataan emosi MB Selangor tak cermin kematangan politik - Pas

Yusfarizal
Yusfarizal
A
A
A

SHAH ALAM - Penggunaan perkataan beremosi oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu video terhadap Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri dianggap tidak mencerminkan kematangan politik.

Ketua Penerangannya, Dr Yusfarizal Yussoff berkata, kata-kata keterlaluan yang kurang enak didengar dan tidak selari dengan kedudukan serta kehebatan Menteri Besar mahu pun suasana politik di Selangor.

Menurutnya, Ab Halim yang juga bekas ahli akademik bertaraf profesor dikenali sebagai tokoh politik yang lembut tutur kata dan jarang mengeluarkan kenyataan berunsur provokatif.

"Sedikit perasaan hormat dalam politik tidak akan menggugat kredibiliti Menteri Besar, malah akan menguatkannya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas isu penternakan babi di Selangor, Yusfarizal menegaskan, Pas Selangor membangkitkan perkara itu secara objektif dengan menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya diselesaikan selepas bertahun-tahun tanpa penyelesaian tuntas.

Katanya, Pas Selangor turut menumpukan kritikan terhadap aspek alam sekitar termasuk pencemaran yang didakwa berpunca daripada ladang penternakan babi di Bukit Tagar serta ladang yang masih beroperasi di Tanjung Sepat.

"Pesuruhjaya Pas Selangor tidak pernah menyatakan Menteri Besar tidak tahu hukum babi haram, sebaliknya mencadangkan pendekatan jalan tengah rasional, berasaskan bukti dan berpaksikan kepentingan rakyat," tambahnya.

Beliau berkata, cadangan itu merangkumi pelaksanaan audit alam sekitar secara bebas dan berkala, syarat lesen operasi berdasarkan pematuhan sebenar di lapangan serta mekanisme penggantungan atau pembatalan lesen secara automatik sekiranya berlaku ketidakpatuhan berulang.

Yusfarizal turut mempersoalkan kenyataan Menteri Besar yang menggunakan frasa 'hendak buat' memandangkan Amirudin sudah hampir lapan tahun menerajui pentadbiran negeri.

Artikel Berkaitan:

"Jika dicampur tempoh tambahan, isu ini seolah-olah mengambil masa sehingga 12 tahun untuk diselesaikan.

"Sepatutnya tempoh lapan tahun sudah menunjukkan hasil yang jelas,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini masalah pencemaran masih dapat dilihat termasuk kelodak hitam berbuih di pantai Tanjung Sepat serta status penilaian impak alam sekitar (EIA) dan penilaian impak sosial (SIA) di Bukit Tagar yang belum disiapkan.

Dalam pada itu, beliau mengakui Menteri Besar seorang pemimpin yang kental dan tenang, namun berpendapat kenyataan beremosi yang dikeluarkan kali ini mungkin satu kekhilafan.

Beliau berkata, Pas Selangor akan memantau perkembangan isu berkenaan bermula 7 Februari 2026 sebagai tarikh rujukan.

"Apa pun, kami menunggu penyelesaian isu penternakan babi yang dikatakan ‘nak buat’ itu,” katanya.

Terdahulu, menerusi satu rakaman video Reels yang tular di media sosial, Amirudin berkata, pihak pembangkang tidak berani membangkitkan isu itu secara terbuka ketika mereka berada dalam kerajaan sebelum ini.

"Dia (Pas) berani cakap? Tak berani. Dia pun tahu, mereka pun pernah jadi kerajaan," katanya.

Beliau turut menyentuh kenyataan pimpinan Pas Selangor yang didakwa dibuat kepada media berbahasa Cina berkaitan pendirian parti itu terhadap industri penternakan babi di negeri berkenaan.

"Tiba-tiba bila Pesuruhjaya Pas Negeri jumpa akhbar Cina, kita akan terus membenarkan perusahaan babi dengan keadaan terkawal,” katanya.

Dalam ucapannya itu, Amirudin turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kritikan dilemparkan sambil menegaskan beliau sedia maklum mengenai hukum berkaitan babi dalam Islam.

Beliau mendakwa, terdapat pihak tertentu yang sengaja memainkan isu berkenaan bagi melemahkan perpaduan dan menjatuhkan kerajaan negeri.

"Kerja dia (pembangkang) memang nak jatuhkan kita, nak hancurkan dan menekan perpaduan yang ada.

"Lepas itu dia nak jadi hero, kononnya nak perpaduan semua,” katanya.

Sehubungan itu, Amirudin menegaskan, kepimpinan dan jentera kerajaan perlu memberi tumpuan kepada kerja di peringkat akar umbi serta menghubungkan pencapaian ekonomi dengan kejayaan politik.

"Kita kena tingkatkan kerja di bawah, kena hubungkan kejayaan kita dengan kemenangan politik, pencapaian ekonomi dengan kepimpinan Perdana Menteri dan dasar-dasar yang telah kita laksanakan," tegas beliau.

Ringkasan AI

  • Penggunaan perkataan beremosi oleh Menteri Besar Selangor terhadap Pesuruhjaya Pas Selangor dianggap tidak wajar
  • Ketua Penerangan Pas Selangor menyatakan kata-kata tersebut tidak mencerminkan kematangan politik
  • Pesuruhjaya Pas Selangor, seorang bekas ahli akademik, dikenali dengan tutur kata yang lembut
  • Pas Selangor menegur isu penternakan babi secara objektif, berlandaskan titah Sultan Selangor
  • Cadangan untuk menangani isu tersebut termasuk audit alam sekitar secara berkala dan mekanisme penggantungan lesen operasi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!