Menteri gesa pihak berkuasa agama jadi pencelah kes Nik Elin

Mohd Na'im - Foto Bernama
Mohd Na'im - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa agama Islam negeri, badan-badan berkanun berkaitan agama Islam dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan agama diseru terlibat dalam kes berkaitan Nik Elin Zurina lawan kerajaan Kelantan sama ada sebagai pencelah (intervener), watching brief atau sahabat mahkamah (amicus curiae).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kes tersebut masih di peringkat prosiding di Mahkamah Persekutuan dan sebarang komentar berkaitannya diklasifikasikan sebagai sub-judice.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam bagi memastikan undang-undang syariah yang telah digubal oleh Badan Perundangan Negeri dilaksanakan sebaiknya.

“Jadual Kesembilan, Senarai 2, Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Badan Perundangan Negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang kesalahan jenayah syariah bagi kesalahan-kesalahan yang berhubung dengan pelanggaran rukun-rukun Islam.

“Peruntukan tersebut juga telah diperkenan oleh sultan dan raja pemerintah di setiap negeri sebelum dikuatkuasakan,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Dalam masa sama, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan mempertahan dan menambah baik institusi kehakiman syariah di Malaysia.

"Dalam hal ini, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa bekerjasama rapat dengan institusi perundangan dan kehakiman syariah negeri yang terletak secara mutlak di bawah sultan dan raja pemerintah setiap negeri," katanya.

Sebelum ini, seorang peguam kelahiran Kelantan dan anaknya mengemukakan cabaran cabaran Perlembagaan berhubung 20 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1).

Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman mendakwa 20 peruntukan yang terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah tidak sah kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan yang sama.

Kedua-duanya berpendirian, kuasa untuk menggubal undang-undang melibatkan perkara jenayah adalah di bawah bidang kuasa Parlimen manakala DUN hanya diberi hak untuk menggubal undang-undang berkaitan akidah Islam.

Kedua-dua individu berkenaan menggesa pihak mahkamah mengisytiharkan bahawa peruntukan tersebut batal dan tidak sah.