Pemutihan semua rumah ibadah tanpa kebenaran - KPKT

Kor Ming
Kor Ming
A
A
A

IPOH - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) bersedia bekerjasama dengan semua pihak berkaitan dalam melaksanakan program pemutihan rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, isu tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, namun KPKT tetap terbuka untuk membantu menyelesaikannya dalam suasana harmoni.

"Oleh sebab itu, di bawah KPKT terdapat Bahagian RIBI (Rumah Ibadat Bukan Islam). Marilah kita sama-sama membantu dan menyelesaikan masalah ini,” katanya selepas Majlis Sumbangan Kasih MADANI di SJKC Bercham di sini pada Ahad.

Selain itu, Kor Ming berkata, setiap pembinaan rumah ibadat tertakluk kepada undang-undang, termasuk keperluan memperoleh kebenaran merancang (KM) daripada PBT.

"Sebenarnya, undang-undang kita telah jelas. Mereka perlu memohon kebenaran merancang dan peraturan ini terpakai untuk semua rumah ibadat termasuk gereja, masjid, tokong dan kuil, tanpa sebarang pengecualian,” katanya.

Kor Ming berkata, terdapat struktur rumah ibadah yang telah dibina sebelum kewujudan Akta Kerajaan Tempatan 1976 atau Kanun Tanah Negara 1965.

"Sebahagian rumah ibadat ini telah wujud ratusan tahun lepas. Oleh itu, ia sudah lama berada di situ. Kita perlu mencari penyelesaian melalui proses pemutihan.

"Yang penting, struktur itu tidak mengganggu ketenteraman awam, tidak menceroboh rizab sungai dan tidak mengganggu trafik atau jalan raya,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan tidak bersetuju dengan pembinaan rumah ibadat tanpa ikut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan tanpa mengira kaum.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri berkata, semua rumah ibadat termasuk kuil, masjid, surau dan gereja perlu mematuhi peraturan yang sama demi menjaga keharmonian serta perpaduan negara.- Bernama 

Ringkasan AI

  • KPKT bersedia bekerjasama dalam pelaksanaan program pemutihan rumah ibadat tanpa kebenaran
  • Isu tanah rumah ibadat adalah di bawah bidang kuasa negeri tapi KPKT terbuka bantu selesaikan
  • Setiap pembinaan rumah ibadat tertakluk pada undang-undang termasuk keperluan kebenaran merancang daripada PBT
  • Terdapat rumah ibadat dibina sebelum Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Kanun Tanah Negara 1965
  • Perdana Menteri menegaskan rumah ibadat perlu ikut peraturan dan undang-undang tanpa mengira kaum

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!