Terengganu sedia main peranan kes cabar undang-undang syariah Kelantan

Muhammad Khalil
Muhammad Khalil
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu sedia memainkan peranan berhubung tindakan seorang peguam dan anaknya yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan.

Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia bagi memastikan kedudukan perundangan Islam terus dilindungi serta memartabatkan undang-undang syariah.

"Di peringkat kerajaan negeri, kami bersedia memainkan peranan untuk melindungi kedudukan dan martabat perundangan Islam yang telah dipertahankan oleh pejuang kemerdekaan sejak dahulu lagi.

"Pada masa yang sama, saya harap adanya perancangan segera di pihak Kerajaan Persekutuan bagi mengemukakan penyelesaian terhadap situasi yang semakin meruncing ini sebelum keadaan menjadi semakin rumit dan tidak lagi boleh dibaiki.

"Saya juga berharap agar panel hakim di Mahkamah Persekutuan kali ini dapat mengambil peluang ini untuk melihat dan menyemak kembali keputusan-keputusan mahkamah terdahulu yang tidak mengangkat kedudukan Islam dalam sistem perundangan negara kepada martabat yang sepatutnya, " katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Jumaat.

Menurut Muhammad Khalil, kerajaan negeri mengambil berat kes itu memandangkan keputusan mahkamah akan turut memberi kesan domino kepada Enakmen-enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Terengganu yang turut mengandungi kesalahan-kesalahan yang sama seperti yang dicabar oleh pihak pemohon.

Katanya, badan berkaitan agama Islam di Terengganu iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah diterima untuk menjadi peguam pemerhati kepada prosiding kes berkenaan.

"Saya melihat implikasi kes ini bukan semata-mata akan menjejaskan keabsahan EKJS (Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah), tetapi akan turut menyentuh isu kedaulatan agama Islam di negara ini," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, perundangan Islam adalah sebahagian daripada perundangan di Malaysia di mana kedudukan itu telah diiktiraf dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan ketika ia digubal.

Ujar beliau, keterangan dalam Batu Bersurat mengenai hukuman bagi kesalahan zina juga membuktikan bahawa negeri Terengganu telah mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh sejak berabad lamanya.

"Islam telah diangkat menjadi agama persekutuan dan bidang kuasa bagi hukum syarak dikekalkan kepada sultan dan raja pemerintah di negeri-negeri.

"Selama 66 tahun negara kita merdeka, struktur dalam Perlembagaan ini telah diterima dan diguna pakai malah turut ditambah baik dengan memasukkan Perkara 121(1A) yang mengangkat kedudukan Mahkamah Syariah.

"Namun semua yang telah kita bina ini akan runtuh satu persatu sekiranya trend kes mahkamah yang mencabar bidang kuasa negeri ini dibiarkan berterusan tanpa apa-apa tindakan daripada pihak yang mempunyai kuasa," katanya.

Khamis lalu, panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan telah mendengar petisyen seorang peguam dan anaknya yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dalam usaha mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen tersebut, terbatal dan tidak sah.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel bersidang mendengar petisyen difailkan oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Negeri Kelantan.

Pada prosiding itu, mahkamah sebulat suara menolak permohonan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) untuk bertindak sebagai pencelah dalam pendengaran petisyen berkenaan atas alasan permohonan itu tidak berasas.

Ketika menolak permohonan itu, Hakim Tengku Maimun menarik perhatian semua pihak dan menegaskan, petisyen berkenaan hanya berkaitan pentafsiran perkataan-perkataan dalam Perlembagaan Persekutuan dan tiada kena mengena dengan doktrin Islam.

Dalam prosiding itu, peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili kedua-dua pempetisyen berhujah, 20 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, bertindan dengan undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.

Menurut hujah, peruntukan tersebut tidak sah atas alasan Badan Perundangan Negeri Kelantan tiada kuasa untuk menggubal peruntukan undang-undang tersebut.

Hujah Malik Imtiaz, 20 peruntukan undang-undang jenayah yang dipertikaikan itu merupakan bidang kuasa Parlimen.

Antaranya termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).

Peruntukan lain termasuk Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).

Mei lalu, peguam kelahiran Kelantan bersama anaknya itu mencabar 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen berkenaan dan kes itu didengar di Mahkamah Persekutuan.