Saifuddin jangka Hamzah dipecat

Saifuddin, Hamzah.
Saifuddin, Hamzah.
A
A
A

SHAH ALAM – Bersatu dijangka memecat Datuk Seri Hamzah Zainudin susulan notis panggilan kali kedua yang dikeluarkan Lembaga Disiplin parti terhadap Timbalan Presiden itu.

Ahli Parlimen Indera Mahkota yang dipecat keahlian Bersatu, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tindakan berkenaan tidak mengejutkan memandangkan sebelum ini wujud desakan daripada penyokong Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu Ahli Parlimen Larut itu dipecat.

“Sebelum ini memang ada desakan daripada penyokong Muhyiddin yang mahu Hamzah dipecat.

“Saya jangka begitu (dipecat). Lagipun sebelum ini ramai telah dipecat melalui cara yang sama, sedangkan lembaga disiplin tidak menjalankan prosiding dengan betul,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sebelum ini, Hamzah dilaporkan bakal dipanggil menghadap Lembaga Disiplin Bersatu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) serta serangan terhadap Muhyiddin.

Ketua Pembangkang itu dijadualkan memberi keterangan pada Khamis ini, jam 12 tengah hari di Ibu Pejabat Bersatu, Petaling Jaya.

Berdasarkan surat yang didakwa sebagai notis panggilan kali kedua, bertarikh 6 Februari dan ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan, empat aduan disiplin secara bertulis telah dikemukakan terhadap Hamzah masing-masing pada 30 September 2025 dan 5 Februari lalu.

Notis berkenaan turut menyatakan kegagalan menghadiri sesi tersebut membolehkan lembaga disiplin membuat keputusan tanpa rujukan lanjut, dan sebarang keputusan adalah muktamad.

Dalam pada itu, Saifuddin yang turut dipecat pada Januari lalu menegaskan tindakan penyokong Muhyiddin yang berselindung di sebalik Lembaga Disiplin disifatkan sebagai drakonian dan berpotensi menyebabkan parti itu reput dari dalam.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mempersoalkan sama ada notis terhadap Hamzah itu bertujuan ‘membunuh’ secara perlahan Timbalan Presiden Bersatu berkenaan.

“Persoalannya, adakah Lembaga Disiplin menjalankan tanggungjawabnya sebagai badan disiplin atau menjadi senjata untuk mengawal kebimbangan dan perbezaan pandangan yang munasabah dalam parti?

“Lebih mengundang tanda tanya, notis ini muncul ketika tumpuan rakyat, khususnya orang Melayu, sedang terarah kepada isu-isu besar negara dan kelemahan kerajaan sedia ada.

“Adakah ini percubaan supaya mereka yang bimbang dan berbeza pendapat dengan Tan Sri (Muhyiddin) akan takut?” ujarnya bekas ahli MPT Bersatu itu.

Ringkasan AI

  • Hamzah Zainudin dijangka dipecat dari Bersatu
  • Notis panggilan kedua telah dikeluarkan oleh Lembaga Disiplin parti
  • Desakan pemecatan berkaitan dengan penyokong Muhyiddin Yassin
  • Penyokong Muhyiddin didakwa menggunakan Lembaga Disiplin untuk tujuan politik
  • Saifuddin Abdullah mempersoalkan tindakan Lembaga Disiplin sebagai senjata politik

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!