Menteri besar kesal Enakmen Kanun Jenayah Syariah dicabar

Mohd Nassuruddin (tengah) dikerumuni orang ramai untuk bergambar dan bersalaman.
Mohd Nassuruddin (tengah) dikerumuni orang ramai untuk bergambar dan bersalaman.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud meluahkan rasa kesal terhadap tindakan individu mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang dilaksanakan di negeri ini.

Beliau berkata, lebih mengecewakan apabila pihak yang mencabar enakmen itu merupakan seorang peguam beragama Islam dan berasal dari Kelantan.

Menurutnya, ketika ini, perkara berkaitan enakmen berkenaan masih dalam perbicaraan di mahkamah.

“Sekarang ini sedang dibicarakan kes mencabar undang-undang syariah Islam yang sudah diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan supaya diisytiharkan terbatal dan tidak sah kerana bercanggah dengan Perlembagaan negara.

“Siapa yang mencabarnya? Orang Islam yang mengucap dua kalimah syahadah, orang Kelantan sendiri,” katanya ketika menyampaikan Kuliah Pagi Jumaat yang pertama sebagai Menteri Besar Kelantan di Medan Ilmu, di sini pada Jumaat.

Mohd Nassuruddin bagaimanapun menegaskan perkara itu bukan sesuatu yang pelik kerana tidak semua rakyat Kelantan akan bersetuju untuk bersama-sama memperjuangkan undang-undang jenayah syariah di negeri ini.

Beliau turut memberikan contoh pada era perjuangan Rasulullah SAW dan cabaran yang dihadapi Baginda untuk menegakkan syiar Islam bahkan seluruh umat perlu membantu dalam perjuangan itu.

“Nabi Muhammad SAW lahir di Makkah dan Abu Jahal juga lahir di Makkah, tetapi mereka tidak sependapat dalam perjuangan menegakkan Islam.

Artikel Berkaitan:

“Dalam hal ini, umat Islam tidak boleh berdiam diri dan perlu lawan dengan ilmu, saluran serta kuasa mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Nassuruddin juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat Kelantan yang memberi sokongan terhadap perjuangan Islam di negeri berkenaan.

Sebelum itu, panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan pada Khamis mendengar petisyen seorang peguam dan anaknya yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dalam usaha mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen tersebut, terbatal dan tidak sah.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yanh mengetuai panel bersidang mendengar petisyen difailkan oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Negeri Kelantan.

Pada prosiding itu, mahkamah sebulat suara menolak permohonan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan untuk bertindak sebagai pencelah dalam pendengaran petisyen berkenaan atas alasan permohonan itu tidak berasas.

Ketika menolak permohonan itu, Hakim Tengku Maimun menarik perhatian semua pihak dan menegaskan, petisyen berkenaan hanya berkaitan pentafsiran perkataan-perkataan dalam Perlembagaan Persekutuan dan tiada kena mengena dengan doktrin Islam.