Sekatan diroboh: Penduduk kecewa kayu balak dibawa keluar

Halangan yang dibina penduduk kampung dibuka bagi membolehkan hasil balak dikeluarkan dari kawasan tersebut.
Halangan yang dibina penduduk kampung dibuka bagi membolehkan hasil balak dikeluarkan dari kawasan tersebut.
A
A
A

IPOH - Penduduk Kampung Tasik Cunex, Gerik kecewa halangan yang dibina mereka untuk menyekat proses membawa keluar kayu balak yang ditebang di kawasan itu dibuka.

Pengerusi Kampung Tasik Cunex, Apam Yik berkata, sekitar jam 10 pagi tadi, seramai kira-kira 20 orang dipercayai daripada pelbagai agensi kerajaan bertindak merobohkan halangan tersebut menggunakan peralatan gergaji dan sebagainya.

Katanya, kerja-kerja membuka itu disaksikan sendiri beberapa penduduk di dua kampung berhampiran iaitu Kampung Papan dan Kampung Jelmol.

"Kita dah bina halangan ini sejak bulan Mac lalu dan ini halangan kedua yang kami bina kerana sebelum ini juga sudah diruntuhkan.

"Papan tanda amaran supaya kami tidak menghalang usaha mereka turut dipasang di kawasan tersebut dan kita tak ganggu mereka," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, operasi mengeluarkan kayu balak di kawasan itu diteruskan selepas halangan tersebut dibuka dan mereka akan berbincang sama ada akan membina semula halangan atau sebaliknya.

Papan tanda amaran yang dipasang selepas halangan yang dibina penduduk dibuka.
Papan tanda amaran yang dipasang selepas halangan yang dibina penduduk dibuka.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kejadian itu telah dimaklumkan kepada Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ahli Exco Peka, Saha Deva berkata, pihaknya sedia bertindak untuk membantu orang asli di Kampung Tasik Cunex, Gerik, dalam usaha mereka mempertahankan kawasan mereka daripada aktiviti pembalakan.

Katanya, isu orang asli di Kampung Tasik Cunex telah dibawa ke pengetahuan pelbagai pihak termasuk kerajaan Persekutuan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

"Orang asli ini sudah lama mempertahankan tanah ini dan kita sentiasa memantau perkembangan di sana. Kita juga sedang berusaha untuk membantu mereka mencari jalan penyelesaian.

"Secara umum, kita sedia bertemu dengan mana-mana pihak termasuk kerajaan Perak bagi menyelesaikan masalah ini," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini mereka telah turun ke kawasan tersebut dan jika perlu mereka akan berbuat demikian dalam masa terdekat.