Penduduk kecewa dewan terbuka tak ikut spesifikasi

Yee Kew (tengah) menunjukkan dewan serbaguna di bawah projek ICU untuk kegunaan penduduk Flat Danau Kota.
Yee Kew (tengah) menunjukkan dewan serbaguna di bawah projek ICU untuk kegunaan penduduk Flat Danau Kota.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew meluahkan rasa kecewa dan terkejut apabila hasil kerja dewan terbuka yang dinantikan penduduk Flat Danau Kota sejak 10 tahun lalu tidak seperti diharapkan.

Yee Kew berkata, ketika menjadi wakil rakyat di Parlimen itu, pihaknya telah memperuntukkan RM300,000 untuk pembinaan dewan terbuka berserta pejabat kecil untuk keperluan 5,000 penduduk di lima blok perumahan bertingkat itu.

Menurutnya, beberapa mesyuarat telah diadakan bersama persatuan penduduk serta pegawai Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) sebelum pembinaan dewan tersebut dilaksanakan bagi memperincikan keperluan dan spesifikasi diharapkan.

"Saya minta dewan terbuka yang boleh digunakan untuk penduduk adakan acara sosial seperti kenduri dan sambutan perayaan selain kegunaan sukan seperti sepak takraw dan badminton.

"Sebuah pejabat turut dimohon bagi kegunaan mesyuarat yang mampu memuatkan 30 orang dalam satu masa namun kecewa bilik mesyuarat diharapkan besarnya seperti keluasan tandas, bagaimana mahu bermesyuarat? katanya pada sidang akhbar pada Selasa.

Yee Kew (tengah) mengadakan sidang akhbar selepas tidak berpuas hati projek pembinaan dewan terbuka yang hasilnya tidak seperti diharapkan.
Yee Kew (tengah) mengadakan sidang akhbar selepas tidak berpuas hati projek pembinaan dewan terbuka yang hasilnya tidak seperti diharapkan.

Beliau berkata, pihaknya telah beberapa kali meminta reka bentuk dewan tersebut daripada ICU untuk memastikan projek mengikut kehendak cadangan asal tapi pelan tersebut langsung tidak dikongsikan sehingga projek tersebut siap.

"Saya tidak dimaklumkan perkembangan projek dan setelah siap hasilnya tidak memuaskan, tidak setara dengan peruntukan RM300,000.

"Adakah ini kelemahan ICU dan bagaimana mereka boleh terima dan luluskan reka bentuk dengan kerja tak bermutu?

"Adakah wujud unsur rasuah dan ketirisan, siapa kontraktor ini? Adakah mereka benar menjalankan kerja pembinaan atau projek tersebut telah di sub ke kontraktor kecil lain? soalnya.

Beliau menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk campur tangan dan menjalankan siasatan terhadap projek-projek di bawah ICU.

"Kita tak boleh terima keadaan ini, kita bersama PM menentang rasuah di semua lapisan masyarakat. PM perlu gegar ICU yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.

"Kami beri tempoh selama seminggu kepada ICU untuk ambil tindakan sewajarnya, jika tiada maklum balas munasabah, kami tidak menolak membawa kes ini kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Taman Danau Kota, Kamarul Zaman Mohamad berkata, dirinya menjadi mangsa kemarahan penduduk yang tidak berpuas hati dengan hasil projek dewan.

Yee Kew (kiri) dan Kamarul menunjukkan projek dilaksanakan di bawah ICU yang siap Mac lalu.
Yee Kew (kiri) dan Kamarul menunjukkan projek dilaksanakan di bawah ICU yang siap Mac lalu.

Beliau mengambil inisiatif mengeluarkan modal sendiri sebanyak RM15,000 untuk menambah baik dewan tersebut termasuk pemasangan tambahan 'awning' (sengkuap).

"Saya telah membuat dua ke tiga majlis sebagai percubaan namun spesifikasinya tidak memenuhi syarat dan tidak berfungsi dengan baik. Ia tidak sesuai digunakan ketika hujan.

"Saya ambil pendekatan buat pembaikan termasuk memasang sengkuap untuk lindung matahari dan hujan.

"Saya ambil pendekatan buat segera dan jika masih tidak mendapat bantuan daripada mana-mana maka saya terpaksa cari alternatif lain bagi membolehkan dewan ini digunakan sepenuhnya pada Julai," katanya.

Katanya, projek pembinaan dewan tersebut telah mula pada Disember tahun lepas dan siap pada Mac lalu untuk kegunaan hampir 5,000 penduduk membabitkan lima blok yang tidak memiliki dewan serbaguna untuk kemudahan aktiviti kemasyarakatan.