Mengangkat warisan bunga Kelumpang

KUALA KANGSAR – Usaha memperkenalkan semula bunga Kelumpang sebagai bunga warisan negeri Perak dipergiat menerusi Program Jejak Kalumpang: Bunga Warisan Perak yang dilancarkan di Perpustakaan Awam Kuala Kangsar di sini baru-baru ini.
Program anjuran Persatuan Konservasi Samudera 9 Perak (Ocean9) dengan kerjasama Pusat Biodiversiti dan Konservasi (CeBEC), Fakulti Sains dan Matematik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu disempurnakan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris A’fifullah Shah.
Pengerusi Ocean9, Raja Kamar Azhar Raja Muda Ahmed Siffudin berkata, program yang bermula sejak 20 Disember 2025 itu bertujuan memperkenalkan semula bunga Kelumpang yang telah lama menjadi simbol dan motif penting dalam sejarah serta kebudayaan Perak.
Menurutnya, berdasarkan kajian dan dapatan penyelidik, bunga Kelumpang telah diangkat sejak zaman pemerintahan Sultan Perak terdahulu, termasuk titah Almarhum Sultan Idris II agar logo Kalumpang digunakan pada kad jemputan Istana.

"Pada era pemerintahan Almarhum Sultan Azlan Shah pula, baginda menitahkan motif bunga Kelumpang digunakan pada songket bunga tabur orang-orang besar negeri Perak.
"Selain itu, motif Kelumpang turut ditemui pada ukiran pintu, singgahsana di Balairong Seri Istana Iskandariah, rumah Melayu lama serta masjid, termasuk mimbar Masjid Panglima Kinta di Ipoh yang dipercayai dibina pada abad ke-19," katanya dalam ucapan pada majlis berkenaan.
Raja Kamar Azhar menjelaskan, Program Jejak Kelumpang terbahagi kepada dua komponen utama iaitu kempen kesedaran dan penanaman semula.
Katanya, kempen kesedaran melibatkan program ke sekolah terpilih iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sayong, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Merchu, SK Raja Perempuan Muzwin dan Madrasah Idrisiah, selain pameran di Perpustakaan Awam Kuala Kangsar dari 20 Disember 2025 hingga 20 Januari 2026.
"Bagi komponen penanaman semula, sebanyak 100 pokok Kelumpang akan ditanam di sekitar Kuala Kangsar dalam masa terdekat, sebelum diperluaskan secara berperingkat di sepanjang Sungai Perak hingga ke Bagan Datuk.
“Bunga Kelumpang bukan hak milik mana-mana pihak, sebaliknya milik seluruh rakyat Perak. Justeru, marilah kita bersama-sama mengangkat semula bunga warisan negeri ini," katanya.
Program itu turut mendapat sokongan pembiayaan daripada Yayasan Hasanah melalui Think City, selain sokongan pelbagai pihak termasuk ahli akademik UPSI dan Perpustakaan Awam Kuala Kangsar.
Raja Kamar Azhar berharap lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan serta pihak swasta tampil bersama-sama menggerakkan inisiatif memartabatkan bunga Kelumpang sebagai bunga warisan Negeri Perak.
Ringkasan AI
- Usaha memperkenalkan semula bunga Kelumpang sebagai bunga warisan negeri Perak dilancarkan melalui Program Jejak Kalumpang
- Program ini diadakan dengan kerjasama antara Persatuan Konservasi Samudera 9 Perak, Pusat Biodiversiti dan Konservasi, dan Fakulti Sains dan Matematik Universiti Pendidikan Sultan Idris
- Tujuan program adalah untuk menghidupkan semula penggunaan bunga Kelumpang, yang mempunyai nilai sejarah dan kebudayaan penting di Perak
- Program Jejak Kelumpang terbahagi kepada kempen kesedaran dan penanaman semula, termasuk penanaman 100 pokok Kelumpang di sekitar Kuala Kangsar
- Inisiatif ini mendapat sokongan daripada Yayasan Hasanah melalui Think City, serta pelbagai pihak termasuk ahli akademik dan Perpustakaan Awam Kuala Kangsar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


