Pelaburan RM2.5 bilion di Cheneh bakal wujud 3,700 peluang pekerjaan

Wen Debiao (tiga dari kiri) menyerahkan replika cek kepada Wan Adnan (dua dari kanan) sambil disaksikan Mohd Nurkhuzaini (tengah).
Wen Debiao (tiga dari kiri) menyerahkan replika cek kepada Wan Adnan (dua dari kanan) sambil disaksikan Mohd Nurkhuzaini (tengah).
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pelaburan berjumlah RM2.5 bilion di Kawasan Perindustrian Bandar Baharu Cheneh (tambahan), Kemaman oleh pelabur dari China, Xinda Development Sdn Bhd dijangka mewujudkan sebanyak 3,700 peluang pekerjaan di negeri ini.

Exco Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, Xinda Development Sdn Bhd yang merupakan syarikat di bawah subsidiari konglomerat dari China, New Zhong Yuan Group akan membangunkan kawasan tersebut dengan industri berasaskan batu kuartz.

Menurutnya, pembangunan fasa pertama berkeluasan 21.3 hektar di kawasan berkenaan bagi pembinaan kilang produk batu kuartz dengan jumlah pelaburan bernilai RM600 juta.

Ujar beliau, ia mampu mewujudkan sehingga 1,000 peluang pekerjaan bagi tempoh lima tahun pertama dengan keutamaan peluang pekerjaan akan diberikan kepada rakyat di Terengganu.

"Pelabur juga akan memindahkan teknologi terkini pengeluaran batu kuartz ke Terengganu yang akan menjadikan kawasan Perindustrian Bandar Baharu Cheneh, Kemaman sebagai pusat kepada pengeluaran berasaskan industri ini di Asia Tenggara pada masa akan datang.

"Beberapa pelabur berpotensi di bawah subsidiari New Zhong Yuan Grop juga dalam proses mengenal pasti tapak tanah industri bagi tujuan pelaburan di Terengganu dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan antara PMINT dan Xinda Development Sdn Bhd di sini pada Rabu.

Pada majlis itu, perjanjian tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif PMINT, Datuk Wan Adnan Wan Derahman, manakala Wen Debiao mewakili New Zhong Yuan Group.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Wan Adnan berkata, pihaknya menandatangani perjanjian pajakan tanah industri di Kawasan Perindustrian Bandar Baharu Cheneh (tambahan) berkeluasan 28.5 hektar bagi tempoh pajakan selama 60 tahun dengan nilai pajakan berjumlah lebih RM14.4 juta bersama Xinda Development Sdn Bhd.

Beliau menambah kilang yang dibina di kawasan tersebut dijangka bermula beroperasi pada tahun hadapan.

"Pelaburan bernilai RM2.5 bilion tersebut mempunyai dua fasa iaitu pertama di Cheneh manakala fasa kedua pula di Teluk Kalong.

"Batu kuartz itu menghasilkan produk untuk industri pembinaan hartanah dan dijangka hujung tahun 2024 atau pada 2025 dieksport ke negara luar antaranya Amerika Syarikat dan Eropah," jelasnya.