Kedah terima pelaburan komited RM5 bilion - Sanusi

Muhammad Sanusi ketika berucap pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-81 di Balairung Seri, Istana Anak Bukit di sini pada Ahad.
Muhammad Sanusi ketika berucap pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-81 di Balairung Seri, Istana Anak Bukit di sini pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor melaporkan Kedah menerima pelaburan komited berjumlah RM5 bilion setakat suku pertama tahun ini.

Katanya, negeri itu turut mencapai prestasi ekonomi memberangsangkan apabila merekod pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 3.2 peratus pada 2021 dan pertumbuhan yang kukuh bagi tahun lalu.

"Pencapaian itu seiring dengan KDNK nasional yang telah mencatatkan lonjakan pertumbuhan sebanyak 8.7 peratus," katanya ketika berucap pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-81 di Balairung Seri, Istana Anak Bukit di sini pada Ahad.

Menurutnya, ia merupakan manifestasi daripada usaha berterusan kerajaan Tuanku melaksanakan pelbagai strategi dan inisiatif yang didasari Pelan Pembangunan Kedah 2035.

“Kejayaan yang dicapai ini diterjemahkan, antara lainnya melalui keyakinan komuniti industri untuk terus melabur di negeri ini yang mencatat jumlah pelaburan melebihi sasaran RM10 bilion setahun untuk dua tahun berturut-turut," katanya.

Ujarnya, hasil pelaburan puluhan bilion ringgit itu bakal menjana 19,568 peluang pekerjaan kepada rakyat dan menjanjikan peningkatan hasil tambahan kepada kerajaan negeri.

"Maka, benarlah Kedah kini berupaya menjadi “Negeri Tempat Orang Miskin Berteduh, dan Negeri Untuk Orang Kaya Berbakti”, katanya.

Katanya, momentum pelaburan yang berkembang pesat ini akan diteruskan melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti Pembangunan Delapan SBEZ, Kedah Rubber City, Pembangunan Kedah Aerotropolis, Kedah Science & Technology Park dan Pusat Bekalan Gas dan Loji Janakuasa Pulau Bunting di Yan.

"Kerajaan negeri juga berusaha mempelbagai sumber hasil negeri dengan meneroka sumber alam Kedah yang kaya dengan khazanah bahan mineral untuk memastikan negeri itu mempunyai pendapatan stabil.

“Penemuan bahan mineral baharu iaitu unsur nadir bumi (REE) di negeri ini yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit, dijangka dapat meningkatkan hasil pendapatan negeri melalui bayaran royalti," katanya.

Muhammad Sanusi menambah, di sebalik usaha eksplorasi sumber kekayaan baharu, pemuliharaan khazanah alam semulajadi tetap menjadi agenda utama bagi memastikan kelestarian alam sekitar kekal terpelihara.