AI bakal jejaskan peluang pekerjaan di 9 industri utama

Robot pelayan kini menggantikan tenaga kerja manusia di restoran. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Muhammad Aiman)
Robot pelayan kini menggantikan tenaga kerja manusia di restoran. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Muhammad Aiman)
A
A
A

SHAH ALAM - Peluang rakyat untuk menceburi sembilan industri utama dalam negara dijangka terkesan dengan perkembangan kecerdasan buatan (AI) menjelang 2030.

Pensyarah kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (Sumber Manusia), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Arau, Dr Muhammad Aiman Arifin berkata, industri yang terlibat adalah industri makanan, kesihatan, perkhidmatan pelanggan, perbankan, logistik, khidmat jualan, pengangkutan, pemasaran dan fesyen.

Ujarnya, tidak dapat dinafikan teknologi AI memang banyak membantu dalam industri tertentu namun terdapat tiga kesan utama yang berbeza mengikut keperluan industri tertentu.

“Kesan pertama, ia akan menyebabkan tenaga kerja manusia tidak diperlukan lagi kerana ia akan diganti sepenuhnya oleh AI.

“Kedua, keputusan bergantung kepada majikan iaitu menggabungkan manusia dan robot untuk memastikan kelancaran dalam industri berkaitan dan yang ketiga pula, meneruskan penggunaan sepenuhnya tenaga kerja manusia,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, seramai 4.5 juta rakyat Malaysia berkemungkinan hilang pekerjaan menjelang 2030, sekiranya mereka tidak meningkatkan kemahiran (reskilling) dan melaksanakan latihan semula (upskilling).

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, Forum Ekonomi Dunia 2020 memberi amaran bahawa AI boleh menyebabkan berlakunya kemelesetan pasaran pekerjaan berikutan AI sudah digunakan untuk mengautomasikan tugas dalam pelbagai industri termasuk pembuatan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan pelanggan.

Menurut Muhammad Aiman, AI sudah banyak digunakan dalam industri makanan iaitu di kedai mamak menggunakan robot untuk menghantar makanan dan minuman kepada pelanggan.

Justeru, beliau mencadangkan program peningkatan kemahiran dan latihan semula wajar diperkasakan bagi mengurangkan jurang antara kebergantungan kepada AI.

“Kita perlu fokus kepada aspek meningkatkan kemahiran serta mengasah bakat tenaga kerja sedia ada bagi mengisi keperluan dalam industri jika tidak ramalan 4.5 juta rakyat akan kehilangan pekerjaan menjadi realiti,” katanya.