MIHAS 2023 capai sasaran jualan RM2.5 bilion pada hari ketiga

Reezal Merican (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Produk Terbaik MIHAS 2023 kepada wakil Syarikat Mamee Sdn Bhd (dua dari kanan) pada Majlis Anugerah MIHAS di MITEC pada Jumaat. - Foto: Bernama
Reezal Merican (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Produk Terbaik MIHAS 2023 kepada wakil Syarikat Mamee Sdn Bhd (dua dari kanan) pada Majlis Anugerah MIHAS di MITEC pada Jumaat. - Foto: Bernama
A
A
A

PAMERAN Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2023 telah melepasi sasaran jualannya sebanyak RM2.5 bilion pada hari ketiga, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Pada tahun lepas, acara halal terbesar dunia itu mencatatkan jualan sebanyak RM2.3 bilion.

Pengerusi Matrade, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa keseluruhan jualan boleh mencecah RM3 bilion menjelang tamat pameran selama empat hari itu, yang berakhir pada Jumaat.

"Setakat malam semalam, ia telah melebihi RM2.5 bilion (jualan) dan ia masih dalam kiraan. Tidak mustahil (untuk mencapai RM3 bilion),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Mihas pada Jumaat.

Reezal Merican berkata, antara komponen utama Mihas ialah menjadi platform kepada usahawan untuk mengembangkan kedudukan pasaran mereka di luar negara.

Katanya, acara pada tahun ini telah menarik 1,900 peserta pameran dari 44 negara berbanding 1,300 peserta pameran dari 33 negara pada 2022.

"Sekiranya berlakunya kelembapan dari segi permintaan dalam perdagangan dunia, industri halal dilihat sebagai antara sektor yang boleh menyumbang kepada peningkatan eksport negara secara keseluruhannya,” katanya.

Mihas adalah pasaran yang kukuh untuk pemain antarabangsa dan tempatan bagi merebut peluang selain makanan halal, termasuk farmaseutikal halal, peranti perubatan, kewangan, fesyen, penjagaan diri dan kosmetik, malah pelancongan mesra Muslim.

Artikel Berkaitan:

Pameran pada tahun ini memberi penekanan yang khusus kepada agenda membantu pemain tempatan dan antarabangsa melihat kepada inovasi dan inisiatif mampan untuk menerajui pertumbuhan yang kukuh bagi ekonomi halal.

Mihas tidak terhad kepada rantau ASEAN tetapi turut disokong di peringkat antarabangsa dari segi penyertaan pavilion antarabangsa dari negara-negara di seluruh dunia, daripada suruhanjaya perdagangan hingga pelbagai agensi kerajaan, daripada pemain industri hingga peneraju pasaran. - Bernama