Penduduk Kampung Sungai Baru diberi tempoh sebulan kosongkan rumah

Notis merah yang menyatakan penduduk Kampung Sungai Baru diberi tempoh hanya sebulan sehingga 4 Oktober depan untuk kosongkan kediaman masing-masing.
Notis merah yang menyatakan penduduk Kampung Sungai Baru diberi tempoh hanya sebulan sehingga 4 Oktober depan untuk kosongkan kediaman masing-masing.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemilik rumah Kampung Sungai Baru di sini kecewa selepas menerima notis merah yang memberikan tempoh hanya sebulan sehingga 4 Oktober depan untuk mengosongkan kediaman masing-masing.

Notis pengosongan itu didakwa dikeluarkan oleh Pejabat Pengarah Tanah & Galian (PTG) dan Perbadanan Kampung Bharu (PKB) yang ditampal di setiap rumah terlibat.

Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres & Flat Kampung Sungai Baru Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menuntut penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung arahan terbaharu itu.

Menurutnya, notis bertarikh 5 September 2023 itu dikeluarkan tanpa ada rundingan semula dilakukan sejak arahan penangguhan projek oleh Anwar pada 13 Januari lalu.

"Isu ini telah memberikan kesan kepada pemilik dan penduduk rumah Kampung Sungai Baru yang sedang menantikan penjelasan daripada pihak kerajaan seperti yang dijanjikan oleh Anwar," katanya pada Rabu.

Pada 13 Januari lalu, Anwar mengarahkan penangguhan projek pembangunan Kampung Sungai Baru dilakukan bagi membolehkan satu rundingan semula antara penduduk dan pihak berkepentingan dilaksanakan.

Keputusan itu diambil selepas penduduk terlibat meminta Anwar campur tangan setelah mereka diarah mengosongkan rumah sebelum 19 Januari, 30 hari selepas notis pengusiran dikeluarkan.

Isu pengambilan Kampung Sungai Baru telah bermula sejak 2016 membabitkan 98 unit rumah teres dan lapan blok flat terlibat.

Artikel Berkaitan:

Susulan notis pengosongan terbaharu yang diterima itu, Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres & Flat Kampung Sungai Baru Kuala Lumpur telah menuntut lima perkara diberikan perhatian.

Kata kenyatan itu, tuntutan pertama ialah diberikan ruang untuk rundingan semula antara pemilik rumah dan pemaju seperti yang disarankan oleh Anwar.

"Kedua, kerajaan digesa mengambil tindakan lebih tegas terhadap tindakan pemaju yang telah memindahkan sebilangan penduduk flat ke rumah transit sebelum mendapat persetujuan 100 peratus penduduk flat dan teres untuk memajukan pembangunan tersebut.

"Ketiga, jawatankuasa turut menuntut siasatan terhadap tindakan pemaju melalui kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin melaksanakan Akta Pengambilan Tanah yang diwartakan dalam tempoh darurat serta tidak melalui proses persetujuan Parlimen," katanya.

Tambah kenyataan itu, tuntutan seterusnya, jawatankuasa turut meminta semakan semula proses pengurusan pengosongan rumah yang telah dilakukan secara tidak teratur termasuk komunikasi pihak berkaitan dengan pemilik dan penduduk.

"Tuntutan terakhir ialah meminta kenyataan rasmi daripada Anwar berkenaan pengeluaran notis pengusiran tersebut," tambah kenyataan itu.

Kata kenyatan itu, penduduk berharap agar isu itu terus mendapat perhatian dan pembelaan daripada pihak Kerajaan Perpaduan ini khususnya Anwar yang juga memegang portfolio Wilayah Persekutuan selain PKB, PTG dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memastikan hak seadil dan sewajarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] 'Terima kasih PM'

Pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, penduduk terpaksa akur

Henti campur tangan, politikkan isu Sungai Baru

Pembangunan Sungai Baru: Penduduk tuntut pampasan setimpal

Simpati nasib penduduk Kampung Sungai Baru

Dua tumpuan dalam pembangunan semula Kampung Sungai Baru

Pengambilan tanah Kampung Sungai Baru didakwa berniat jahat

Pembangunan Kampung Sungai Baru: Pemaju tawar pangsapuri

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!