Dua tumpuan dalam pembangunan semula Kampung Sungai Baru

Tumpuan utama dalam urusan pembangunan semula Kampung Sungai Baru diberikan kepada penduduk tidak bersetuju dalam proses pengambilan tanah dan nilai pampasan. (Gambar kecil: Datuk Muhammad Yasir Yahya)
Tumpuan utama dalam urusan pembangunan semula Kampung Sungai Baru diberikan kepada penduduk tidak bersetuju dalam proses pengambilan tanah dan nilai pampasan. (Gambar kecil: Datuk Muhammad Yasir Yahya)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tumpuan utama dalam urusan pembangunan semula Kampung Sungai Baru di sini diberikan kepada penduduk tidak bersetuju dalam proses pengambilan tanah dan nilai pampasan.

Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Yasir Yahya berkata, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) telah mengambil maklum mengenai isu berkaitan.

Menurutnya, projek pembangunan semula itu mendapat persetujuan sebahagian besar penduduk kawasan terbabit, dan perjanjian usaha sama telah ditandatangani di antara pemilik 192 petak rumah pangsa dan 27 unit rumah teres dengan pemaju.

"Pengambilan tanah dilaksanakan ke atas pemilik-pemilik tanah yang tidak menandatangani usaha sama dengan pemaju. Setakat ini, pengambilan tanah telah sempurna dilaksanakan terhadap 72 petak rumah pangsa bagi tujuan pembangunan semula.

"Hanya berbaki 37 unit rumah teres sahaja lagi yang masih belum dilaksanakan siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau menambah, urusan pengambilan tanah adalah berlandaskan peruntukan undang-undang yang jelas, maka pampasan mencukupi digunapakai berdasarkan nilai diberikan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah (JPPH).

"Namun begitu, pihak yang terkilan terhadap nilai pampasan ini masih boleh merayu kepada mahkamah, dan mahkamah akan menilai semula pampasan bersesuaian kepada perayu.

"Pejabat ini (PPTGWP) bersetuju pengambilan tanah diteruskan kerana proses tersebut telah pun dilaksanakan dengan sempurna dan majoriti penduduk bersetuju di atas pembangunan semula Kampung Sungai Baru," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, satu pertemuan di antara penduduk terlibat juga akan diadakan oleh pihak Menteri Wilayah Persekutuan bagi memberi penerangan dan penjelasan untuk membolehkan semua pihak terlibat berada dalam situasi menang-menang.