Minta penyewa kosongkan rumah PPR adalah tidak wajar - Jeffery

Surat yang didakwa daripada LPPB tular meminta penyewa lebih 10 tahun mengosongkan rumah.
Surat yang didakwa daripada LPPB tular meminta penyewa lebih 10 tahun mengosongkan rumah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Tindakan meminta penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini mengosong rumah selepas menyewa lebih 10 tahun disifatkan sebagai tergesa-gesa dan tidak wajar kerana ia membebankan penyewa yang majoritinya golongan B40.

Ketua UMNO bahagian Putatan, Jeffery Noor Mohmed berkata, tindakan tersebut disifatkan tidak berperikemanusian kerana rakyat ketika ini berhadapan dengan kegawatan ekonomi terutamanya golongan B40 untuk mencari penempatan baharu atau menyewa rumah yang sudah tentu kadarnya sewaannya terlalu tinggi.

Menurut beliau, alasan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) menerima teguran daripada Jabatan Audit Negara (JAN) berikutan penyewa telah melebihi 10 tahun tidak rasional kerana berdasarkan Enakmen Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar 1981 Perkara 37 secara jelas menyatakan bahawa tugas JAN hanya untuk mengaudit akaun lembaga tersebut.

"Tidak ada sebarang kuasa diberikan kepada JAN untuk menentukkan polisi yang harus dipatuhi LPPB.

"Kenapa LPPB harus akur dengan teguran tersebut sedangkan kuasa sebenar adalah di bawah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah.

"Sekiranya pun itu sebagai satu peraturan, kerajaan negeri perlu memberikan penjelasan kepada JAN dan membela penyewa penyewa PPR yang majoritinya golongan B40, " katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya lagi, kerajaan negeri perlu menjelaskan Sabah masih memerlukan projek perumahan PPR memandangkan keperluannya kepada golongan B40 begitu tinggi sementara kerajaan negeri tidak berkemampuan untuk membina lebih banyak PPR untuk keperluan rakyat khususnya untuk golongan yang berpendapatan rendah.

"Seharusnya bukan mengusir mereka yang tinggal di PPR melebihi 10 tahun yang taat membayar sewa setiap bulan.

"Perkara yang harus kerajaan negeri pertimbangkan ialah membantu golongan ini, agar rumah PPR yang mereka diami ketika ini boleh dibeli (sewa dan beli) dan ini sudah tentu dapat membantu golongan B40 memiliki rumah sendiri sebagaimana yang sudah dilaksanakan di beberapa buah projek PPR di Kuala Lumpur, " ujarnya.

Jeffrey berkata, tindakan meminta penyewa PPR melebihi 10 tahun untuk mengosongkan kediaman mereka adalah langkah ke belakang.

"Ini menyebabkan kawasan setinggan akan tumbuh seperti cendawan di sekitar ibu kota kerana penyewa sudah tentu tidak mampu menyewa rumah apa lagi membeli rumah kediaman baru.

"Slogan Sabah Maju Jaya seharusnya seiring dengan kemajuan dari segi kemudahan asas yang boleh dikecapi oleh rakyat dan sudah tentu kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri perlu melihat isu kemanusian ini sebagai keutamaan untuk dibela.

Sehubungan beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan membantah sekeras-kerasnya tindakan tersebut dan meminta Ketua Menteri,Datuk Seri Hajiji Noor campur tangan bagi menangani isu itu.

Sebelum ini, tular satu surat yang didakwa daripada LPPB bahawa penghuni PPR yang telah menyewa lebih 10 tahun untuk mengosongkan rumah berkenaan.