Pengambilan tanah Kampung Sungai Baru didakwa berniat jahat

Lebih 50 penduduk Kampung Sungai Baru turut hadir ke ibu pejabat SPRM.
Lebih 50 penduduk Kampung Sungai Baru turut hadir ke ibu pejabat SPRM.
A
A
A

PUTRAJAYA - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendakwa terdapat unsur berniat jahat dalam isu pengambilan tanah melibatkan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur kerana warta dikeluarkan dalam tempoh singkat.

Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, pemilik rumah teres serta flat kampung tersebut menzahirkan kekecewaan apabila Warta di bawah Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah 1960 telah dibuat pada 18 Jun 2021 manakala Warta di bawah seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 dibuat pada 21Jun tahun sama.

"Bagaimana kedua-dua warta ini boleh dikeluarkan dalam tempoh amat singkat iaitu dua hari sedangkan Sabtu dan Ahad merupakan hari minggu dan ketika itu rakyat masih berada di dalam kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0," katanya.

Menurutnya, Pejuang mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim membuat keputusan segera supaya satu arahan dikeluarkan bagi memansuhkan atau menarik balik pewartaan pengambilan tanah di bawah Seksyen 35 Akta Pengambilan Tanah 1960 atau di bawah peruntukan statutori lain.

"Pemansuhan pewartaan pengambilan tanah akan membuka rang perbincangan dan rundingan di antara penduduk dengan pemaju secara lebih adil dan telus tapa unsur tekanan, paksaan dan ugutan pengusiran," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan bersama wakil penduduk Kampung Sungai Baru di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada Khamis.

Beliau mendakwa, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) Datuk Affendi Zahari dipercayai telah diisytihar sebagai muflis oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 Oktober tahun lalu.

Ujarnya, Shahidan perlu menyiasat segera perkara tersebut dan mengambil tindakan pantas melantik pengerusi PKB yang baharu lebih kompeten, berintegriti dan bebas dari pengaruh politik.

Selain itu, kata Khairuddin, Pejuang turut menuntut supaya SPRM membuka satu kertas siasatan bagi menyiasat aliran penggunaan dana oleh wakil pihak pemaju yang mendakwa secara lisan kepada penduduk bahawa mereka membelanjakan hampir RM42 juta bagi perbelanjaan kos berkaitan.

Tambahnya, siasatan perlu dilakukan bagi mengetahui sama ada wujudnya sebarang sogokan dan salah guna kuasa antara pegawai di Kementerian Wilayah Persekutuan, PKB dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan yang terlibat dalam isu pengambilan tanah tersebut.

“Berpaksikan konsep kedaulatan undang-undang, Pejuang menyeru supaya kontroversi pengambilan tanah dan pembangunan semula Kampung Sungai Baru ditangani segera oleh kerajaan tanpa unsur paksaan atau salah guna kuasa demi kebajikan penduduk dan masyarakat Melayu secara amnya,” katanya.