Pindaan Akta 342 dijangka ubah kadar denda, kompaun

Gambar hiasan - Foto Sinar
Gambar hiasan - Foto Sinar
A
A
A

SHAH ALAM - Pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dilihat tidak mendapat persetujuan daripada beberapa pihak terutamanya daripada parti pembangkang.

Antara alasan terhadap tentangan tersebut adalah kerana denda dan kompaun yang dikenakan mengikut RUU itu keterlaluan.

Oleh kerana itu, dijangka perubahan terhadap aspek tersebut akan diubah berdasarkan ketetapan serta kesesuaian yang dipersetujui oleh semua pihak dengan mengambil kira faktor ekonomi dan kesihatan dalam negara ini.

Ketika RUU berkenaan dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Selasa lepas antaranya bagi menaikkan kadar maksimum kompaun terhadap individu dan pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan di bawah RUU berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Muda gesa kerajaan tangguh perbahasan usul Akta 342

Akta 342: Pihak pembangkang seharusnya dirujuk lebih awal

Anwar, ahli Parlimen PH tegas bantah pindaan Akta 342

Berdasarkan RUU tersebut, individu yang melakukan kesalahan boleh dikompaun sehingga RM10,000 berbanding RM1,000 ketika ini, manakala kompaun sehingga maksimum RM1 juta bagi pertubuhan perbadanan.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu mendapat respons daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan bahawa pembentangan RUU itu dibuat secara terburu-buru.

Justeru, Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam sidang media pada Khamis, memohon agar kerajaan melanjutkan sidang Dewan Rakyat bagi membincang dan membahaskan pindaan RUU berkenaan.

Menurutnya, saranan tersebut bertujuan untuk meneliti setiap aspek RUU tersebut terutamanya dari segi penambahan kompaun kepada rakyat.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa RUU Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) terlebih dahulu sebelum bacaan kedua dan ketiga di Dewan Rakyat pada Isnin depan.

Beliau berkata, hal itu kerana untuk mengambil kira pandangan diberikan dan kepentingan kesihatan awam negara dengan pihaknya akan meneruskan sesi libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan dan meneliti semula RUU pindaan Akta 342.

Bagaimanapun, isu berhubung Akta 342 akan menjadi perbincangan serius dalam Dewan Rakyat kerana kedua-dua pihak mempunyai pandangan berbeza kerana pindaan RUU tersebut bukan dilihat hanya sekadar untuk kepentingan rakyat malah turut menfokuskan aspek keselamatan negara.