Pembentangan pindaan Akta 342 dibuat terlalu terburu-buru: Anwar

Tangkap layar Anwar dalam sidang media secara langsung melalui akaun rasmi Facebooknya pada Khamis
Tangkap layar Anwar dalam sidang media secara langsung melalui akaun rasmi Facebooknya pada Khamis
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon agar kerajaan melanjutkan sidang Dewan Rakyat bagi membincang dan membahaskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Menurutnya, saranan tersebut bertujuan untuk meneliti setiap aspek RUU tersebut terutamanya dari segi penambahan kompaun kepada rakyat.

Beliau berkata, berdasarkan RUU berkenaan, individu yang melakukan kesalahan boleh dikompaun sehingga RM10,000 berbanding RM1,000 pada ketika ini.

“Ini sangat membebankan dan kita tidak boleh terima sama sekali. Yang keduanya tentang penguatkuasaan.

“Ketiganya, soal kadar kompaun bagi syarikat-syarikat kerana syarikat itu terlalu umum termasuk persatuan, pertubuhan, parti dan sebagainya,” katanya dalam siaran akhbar secara langsung di Facebook rasminya pada Khamis.

Turut hadir dalam sidang akhbar tersebut ialah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, pembentangan RUU tersebut dibuat terlalu terburu-buru.

“Jadi ini harus diberi penjelasan sehingga menyebabkan kita memohon ditangguhkan kemudian dibincangkan secara teliti.

Artikel Berkaitan:

“Kalau kita bersetuju, kerajaan bersetuju, ia boleh diluluskan tetapi kalau asas-asas tidak dipersetujui kita daripada Pakatan Harapan (PH) terpaksa menolak RUU tersebut,” ujarnya.

Pada Selasa, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mencadangkan lima peruntukan baharu terhadap RUU berkenaan.

Ia merangkumi 10 seksyen di bawah Akta 342 yang akan ditambah baik bagi memastikan kesinambungan pengawalan dan pencegahan pandemik Covid-19 di negara ini.