Malaysia sudah terlebih pekerja asing

Berdasarkan laporan Perangkaan Demografi oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, berlaku pertambahan sebanyak 600,000 warga asing hanya dalam tempoh setahun. Foto hiasan
Berdasarkan laporan Perangkaan Demografi oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, berlaku pertambahan sebanyak 600,000 warga asing hanya dalam tempoh setahun. Foto hiasan
A
A
A

MALAYSIA kini mempunyai jumlah pekerja asing antara yang tertinggi pernah dicatatkan iaitu 3.4 juta atau 10 peratus daripada 34 juta penduduk. Jumlah rakyat Malaysia setakat suku pertama 2024 ialah 30.6 juta.

Berdasarkan laporan Perangkaan Demografi oleh Jabatan Perangkaan Malaysia itu, berlaku pertambahan sebanyak 600,000 warga asing hanya dalam tempoh setahun.

Pada suku pertama 2022 terdapat 2.4 juta warga asing manakala pada 2023 sebanyak 2.8 juta.

Ketika jumlah pekerja asing sekitar 2.8 juta tahun lalu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud memberitahu Dewan Rakyat bahawa sudah berlaku lambakan pekerja asing dalam negara, melebihi unjuran yang ditetapkan.

Menurut beliau, mengikut unjuran Kementerian Ekonomi, angka pekerja asing yang sepatutnya berada di Malaysia adalah 2.4 juta sahaja atau 15 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja seramai 16.51 juta.

Jika unjuran itu boleh dijadikan sandaran, bermakna kita sebenarnya telah terlebih sejuta pekerja asing.

Bagaimanapun tentulah ada pertimbangan lain dalam peningkatan mendadak tersebut seperti keperluan tenaga kerja dalam sektor yang kurang diminati rakyat tempatan seperti perladangan dan pembinaan.

Namun harus diingat, 3.4 juta tersebut adalah pekerja yang sah. Kalau dikira sekali dengan pendatang asing tanpa izin (PATI) jumlahnya mungkin naik sekali ganda.

Artikel Berkaitan:

Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) misalnya menganggarkan terdapat antara 1.2 juta hingga 3.5 juta pekerja PATI di Malaysia pada 2022.

Kalau jumlah PATI digabungkan dengan pekerja asing yang sah sekarang, ia boleh mencecah angka sebesar 6.9 juta orang!

Tidak dinafikan ada banyak negara lain yang lebih bergantung kepada pekerja asing.

Arab Saudi contohnya mempunyai 13.4 juta warga asing iaitu 42 peratus daripada 32.2 juta populasi negara itu.

Namun dengan jumlah pengangguran sebanyak 566,600 orang pada Mac 2024 dan pelbagai masalah sosial yang dicetuskan mereka, kerajaan tidak boleh membiarkan lambakan warga asing di negara ini.

Apatah lagi dengan pelbagai pelaburan baharu syarikat antarabangsa seperti Microsoft dan Google di Malaysia, pekerja asing dikhuatiri akan menguasai ratusan ribu lagi peluang pekerjaan dalam bidang teknologi maklumat sekali gus menyempitkan peluang rakyat tempatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!