Kitar semula sisa makanan jadi pewarna fabrik

Ummi ketika memberi info kepada pengunjung Pameran Seni KLCD 2024 di Kompleks Pasar Raja Bot di Kuala Lumpur.
Ummi ketika memberi info kepada pengunjung Pameran Seni KLCD 2024 di Kompleks Pasar Raja Bot di Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sisa makanan berbentuk tumbuhan dan buah-buahan boleh dikitar semula serta diproses bagi menghasilkan pewarna fabrik melalui pembuatan pigmen semula jadi.

Pengasas platform dalam talian yang mengetengahkan konsep seni mampan alam sekitar, Dunia Motif, Ummi Kalthum Junid berkata, perkara itu perlu disedari orang ramai terutama warga peniaga pasar kerana ia boleh mengatasi masalah pembaziran dalam masyarakat.

"Melalui seni, kami ingin menyuarakan keperluan untuk mengubah cara kita berinteraksi dengan alam sekitar.

"Kami menekankan kitar semula untuk membuat pewarna daripada sampah yang dikutip di Pasar Chow Kit, Jalan Petaling dan pasar malam Jalan Tar.

"Daripada sampah kami olah menjadi pewarna fabrik.

"Antara bahan yang telah kami proses seperti daun pandan, batang pisang, bawang, buah pinang, avocado, jagung, teh dan sebagainya.

Contoh bahan sisa seperti manggis, delima, kulit buah berangan dan kulit jagung.
Contoh bahan sisa seperti manggis, delima, kulit buah berangan dan kulit jagung.

"Ia menghasilkan pelbagai warna menarik untuk digunakan kepada fabrik," katanya kepada Sinar Harian ketika Pameran Seni Kuala Lumpur Colour District (KLCD) 2024 di Kompleks Pasar Raja Bot di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Pemeran dianjurkan oleh Dunia Motif dengan bekerjasama FASHINFIDELITY serta sokongan Think City sedang berlangsung pada 16 hingga 19 Mei ini.

Ketika ditanya mengenai proses membuat pewarna, ujar Ummi, untuk menghasilkan warna fabrik sangat mudah dan tidak memerlukan banyak perkakas.

Menurutnya, bahan-bahan sisa perlulah melalui proses pengeringan terlebih dahulu sebelum direbus untuk menghasilkan warna tersendiri.

"Kemudian ia perlu ditapis untuk mengasingkan air dengan baki bahan. Baki bahan boleh dibuat baja.

"Pewarna dihasilkan itu boleh digunakan untuk pelbagai jenis fabrik seperti baju, seluar, kain, tuala, kasut, beg dan sebagainya.

Ummi Kalthum
Ummi Kalthum

"Cuma selepas dicelup dalam warna berkenaan, fabrik itu perlu dimasukkan ke dalam cecair cuka ataupun air garam," katanya.

Menurut Ummi, warna yang terhasil akan berbeza mengikut spesifikasi sisa termasuk tempat asal dan cara penanamannya serta tempoh rebusan.

Ujarnya, ada bahan sisa yang menghasilkan rona menarik dan sangat berbeza dengan warna original.

"Contohnya, bawang Indonesia menghasilkan warna kuning pekat manakala bahan yang sama daripada India berwarna kuning cair dan kemerahan.

"Buah berangan yang direbus sekejap menghasilkan warna hijau lembut sebaliknya jika direbus lebih lama menjadikan warna hijau pekat," katanya.

Tambah Ummi, sejak pameran dibuka seawal 8.30 pagi, sambutan daripada peniaga-peniaga di pasar berkenaan sangat positif.

Jelasnya, ramai mengakui ini kali pertama mengetahui kaedah demikian dan amat berminat untuk mencubanya sendiri di rumah.

Pengunjung Pameran Seni Kuala Lumpur Colour District (KLCD) 2024 melihat contoh warna dihasilkan.
Pengunjung Pameran Seni Kuala Lumpur Colour District (KLCD) 2024 melihat contoh warna dihasilkan.

"Pasar merupakan tempat utama sampah terhasil.

"Jadi pilihan lokasi pameran ini agak tepat kerana peniaga dan penjaja mudah untuk datang bagi mendapatkan info lanjut dengan kami.

"Saya berharap pameran ini dapat menjadi titik permulaan untuk perubahan yang lebih besar dalam cara kita berfikir tentang pengurusan sisa makanan serta dapat memberi inspirasi kepada masyarakat bagi mengambil tindakan dalam menyelamatkan alam sekitar," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!