Ning Baizura terpalit dalam senarai #blockout2024

Ning Baizura
Ning Baizura
A
A
A

PENYANYI terkenal tanah air, Ning Baizura menjadi sasaran dalam senarai boikot menerusi kempen #blockout2024.

Ia susulan daripada video yang ditangkap rakam oleh pengguna media sosial apabila ibu kepada seorang cahaya mata itu tidak mengetahui mengenai serangan di Rafah.

Soalan tersebut telah mengundang rasa tidak puas hati warga maya dan beliau terus dikecam oleh netizen walaupun video itu sudah tular sejak beberapa hari lalu.

Menerusi video siaran langsung yang dibuat dalam media sosial peribadinya, Ning dilihat sedang membaca komen mengenai perhatian di Rafah.

“All eyes in Rafah? Siapa itu?” soalnya sebelum ketawa.

Beliau yang menyedari ketelanjuran percakapannya secara tiba-tiba menukar topik lain dan perkara itu menimbulkan perdebatan dalam kalangan netizen.

Video tersebut telah dimuat naik di semua platform media sosial oleh pelbagai pengguna.

Sebelum ini, Israel mula memperhebatkan serangan di bandar Rafah sehingga mengorbankan 22 orang termasuk 18 kanak-kanak ketika Amerika Syarikat (AS) mengumumkan memberikan pakej bantuan ketenteraan baharu bernilai berbilion dolar kepada rejim Zionis itu.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) mendedahkan kira-kira 80,000 orang telah meninggalkan Rafah sejak operasi ketenteraan yang dipertingkatkan 6 Mei lepas.

Sementara itu,melihat di ruangan komen aplikasi X mendapati, rata-rata netizen menunjukkan rasa tidak berpuas hati selepas melihat reaksi penyanyi bersuara soprano itu seolah-olah tidak cakna dengan isu kemanusiaan.

Menurut pengguna bernama @MrSam1908, maklumat pada hari ini terletak dihujung jari dan kebanyakan masyarakat hari ini memilih untuk bersikap jahil serta malas untuk mengambil tahu masalah dunia pada hari ini.

“Dia pilih untuk tidak ambil tahu sebab kebanyakan di antara kita membuat perkara sama. Mereka ini hanya akan rasa terkesan dengan sesuatu isu itu apabila melibatkan pendapatan dan populariti sahaja baru kelam-kabut. Selesai masukkan dia dalam senarai #blockout2024,” tulisnya.

Mengulas lanjut, pemilik akaun bernama @Helmi berkata, kebanyakan berita mengenai isu di Rafah sedang hangat di media sosial malah kebanyakan penduduk dunia turut melakukan protes dan bersolidariti, namun terdapat individu yang masih tidak prihatin dengan perkara berkenaan.

“#AllEyesOnRafah lalu di semua platform sosial media. Tak sangka dia tak tahu langsung dengan isu yang melanda rakyat Palestin sekarang,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!