Pindaan undang-undang pencen tidak terpakai kepada pesara kerajaan

Mahkamah Persekutuan pada Selasa membatalkan pindaan kepada undang-undang pencen menjadikan pindaan kepada Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 tidak lagi terpakai kepada pesara kerajaan. - 123RF
Mahkamah Persekutuan pada Selasa membatalkan pindaan kepada undang-undang pencen menjadikan pindaan kepada Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 tidak lagi terpakai kepada pesara kerajaan. - 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan Mahkamah Persekutuan pada Selasa yang membatalkan pindaan kepada undang-undang pencen menjadikan pindaan kepada Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA) itu tidak lagi terpakai kepada pesara kerajaan.

Peguam Datuk Mohd Haaziq Pillay Abdullah berkata, keputusan itu akan diikhtiraf sebagai undang-undang yang sah.

"Mana-mana pihak yang gagal mematuhi perintah Mahkamah Persekutuan boleh dikenakan tindakan menghina keputusan mahkamah paling tinggi di Malaysia dan tindakan undang-undang boleh diambil," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Bagaimanapun, beliau berpendapat pindaan itu boleh dibawa ke Parlimen untuk diperhalusi dan dibentang serta dibahas secara terbuka.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan undang-undang pencen yang dipinda sebagai terbatal dan tidak sah selepas menolak rayuan kerajaan serta Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk membatalkan keputusan itu.

Hakim Besar Malaya, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata, Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA), yang membenarkan kenaikan dua peratus setiap tahun, kurang memihak kepada pesara dan dengan itu, melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.

Berkongsi pendapat sama, peguam Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir berkata, sekiranya suatu undang-undang yang dipinda didapati terbatal dan tidak sah oleh mahkamah maka undang-undang yang terpakai sebelum pindaan tersebut akan kembali berkuat kuasa iaitu Akta Pelarasan Pencen 1980.

"Undang-undang tersebut (PAA 1980) hendaklah ditafsir seperti ia wujud sebelum mana-mana pindaan (yang didapati tidak sah) diperkenal.

"Kesan daripada keputusan itu, pindaan kepada undang-undang pencen adalah tidak terpakai dan tidak wujud. Pindaan itu juga bercanggah dengan Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan kerana ia memiliki suatu kesan yang ‘kurang baik’ kepada penerima imbuhan," katanya.

Peguam Datuk N. Sivananthan pula berkata, Parlimen boleh membentangkan apa-apa pindaan baharu tetapi memandangkan keputusan terkini mahkamah itu, adalah tidak wajar untuk membentangkan pindaan lain bagi tujuan sama.

"Pindaan sedemikian berkemungkinan besar akan diisytiharkan sebagai terbatal dan tidak sah," katanya.

Chin Yan Leng, antara peguam yang mewakili Aminah Ahmad dalam kes itu, ketika dihubungi berkata, seksyen lama (Seksyen 3 dan 6 PAA 1980) akan kembali berkuat kuasa seperti dinyatakan dalam alasan penghakiman Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, usaha menghubungi Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) bagi mendapatkan komen berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan masih diteruskan.

Pada 13 Januari tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan bahawa pindaan Seksyen 3 dan 7 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013 adalah terbatal dan tidak sah kerana melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.

Aminah Ahmad, yang bersara sebagai penjawat awam di Kementerian Luar, telah menyaman kerajaan dan Ketua Pengarah JPA atas kapasiti peribadi serta bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam, kerana mendakwa pindaan kepada PAA 2013 mengakibatkan keadaan kurang memberi manfaat kepada beliau berbanding skim pelarasan persaraan sebelum ini di bawah PAA 1980.

Di bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred yang berkenaan. Bagaimanapun, pindaan 2013 diperkenal berdasarkan kadar rata dua peratus kenaikan tahunan.

Aminah pada mulanya gagal di Mahkamah Tinggi apabila kesnya ditolak pada 2020 namun beliau telah merayu kepada Mahkamah Rayuan yang membuat keputusan memihak kepadanya. Kerajaan dan Ketua Pengarah JPA pula mendapat kebenaran merayu pada tahun lepas. - Bernama