Istiadat Pertabalan Agong ke-17 di Istana Negara 20 Julai ini - Fahmi

Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim akan berlangsung di Istana Negara pada 20 Julai ini, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Fahmi mengumumkan perkara itu selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong.

"Sebagaimana kita sedia maklum, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada hari Rabu, 31 Januari 2024.

"Sehubungan itu, kerajaan dengan titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan melaksanakan acara-acara sempena Istiadat Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim,” katanya kepada media di sini pada Khamis.

Terdahulu Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rozainor Ramli mengumumkan pelantikan Fahmi sebagai Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong.

Fahmi berkata, Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah pada 3 Jun 2024 dan tarikh itu telah diwartakan sebagai cuti umum.

"Bagaimanapun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 telah mengampuni limpah perkenan supaya acara-acara Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Baginda ditangguhkan dari bulan Jun ke bulan September.

"Ini bagi memberi keutamaan kepada Istiadat Pertabalan dan acara-acara lain Sempena Istiadat Pertabalan yang akan berlangsung pada bulan Julai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Acara-acara sempena Istiadat Pertabalan adalah seperti berikut:

Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat pada Khamis, 18 Julai, jam 5.30 petang di Masjid Negara, Kuala Lumpur;

Khutbah Khas dan Solat Jumaat pada Jumaat 19 Julai, jam 1.15 tengah hari di Masjid Negara;

Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Sabtu, 20 Julai, jam 10 pagi, di Istana Negara, Kuala Lumpur;

Majlis Santapan Diraja pada Sabtu, 20 Julai, jam 8.30 malam, di Istana Negara;

Lawatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke Hospital pada Selasa, 23 Julai, jam 9.30 pagi, di Hospital Orang Asli Gombak;

Pameran Raja Kita pada Khamis, 25 Julai jam 11 pagi di Muzium Negara; dan

Majlis Jamuan Teh Diraja pada Sabtu, 27 Julai, jam 3 petang di Istana Negara.

Sementara itu, Fahmi berkata, istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong itu memberi peluang pada rakyat Malaysia untuk memahami dan memupuk rasa cinta rakyat terhadap institusi diraja.

Sehubungan itu, Kementerian Komunikasi sedang menyelaras pelbagai aktiviti termasuk mengadakan perbincangan dengan pihak media mengenai acara yang boleh diadakan sepanjang minggu menuju ke hari pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim.

"Kita semua maklum istiadat pertabalan ini adalah istiadat yang penuh simbolik dan ia adalah satu upacara hanya disaksikan sekitar lima tahun sekali.

"Maka dalam mesyuarat penyelarasan yang saya telah pengerusikan tadi, saya ada menyampaikan pandangan bahawa semestinya rakyat Malaysia mendambakan satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!