Kerajaan negeri perlu segerakan pindaan Akta Perhutanan Negara

Nik Nazmi
Nik Nazmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua kerajaan negeri diminta menyegerakan pindaan Akta Perhutanan Negara (Akta 313) bagi meletakkan amalan piawaian yang standard dalam usaha memelihara kawasan tadahan air di hutan seluruh negara.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, setakat ini hanya Perlis telah berbuat demikian selepas kerajaan pusat membuat pindaan Rang Undang-Undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 pada Julai lepas.

"Kita mempunyai banyak sumber air, kita hadapi banjir dan sebagainya tetapi jika kita tidak menjaga hutan yang ada, ditebang...walaupun mempunyai banyak hutan simpanan untuk tadahan air di seluruh negara, kita akan melihat kesan secara langsung kepada sungai.

"Sumber-sumber air yang dapat diakses untuk diminum akan terjejas atau memerlukan sumber yang besar sebelum dapat diminum... Jadi kita berharap negeri-negeri lain supaya dapat segerakan pindaan itu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat Hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai langkah kerajaan dalam memastikan bekalan air bersih mencukupi susulan suhu bumi yang semakin meningkat terutama di negeri-negeri yang tidak dapat menguruskan bekalan air dengan baik.

Pada Julai lepas, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 yang bertujuan memantapkan penguatkuasaan hutan dalam membanteras kegiatan pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran dan meningkatkan pelaksanaan aktiviti pemeliharaan serta pemuliharaan hutan.

Pindaan membabitkan 62 Fasal yang merangkumi lapan daripada 10 bahagian bagi menambah baik Akta Perhutanan Negara 1984 dan membolehkan pesalah hutan simpan kekal berdepan hukuman lebih berat.

Selain itu, bekiau berkata, kerajaan ketika ini turut mengguna pakai teknologi Takungan Air Pinggiran Sungai atau Off-River Storage (ORS) iaitu air dari sungai disimpan dan kemudian digunakan untuk tebatan banjir supaya bukan semua air berkenaan masuk ke dalam lembangan sungai itu.

"Sumber air itu kemudian kita akan gunakan sebagai satu sumber bekalan air dan ini adalah pendekatan telah kita ambil di Sungai Rasau yang projek yang dibina hari ini melibatkan Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) untuk tebatan banjir.

"Sumber air itu kemudian digunakan untuk mengurangkan stres dari Sungai Klang, jadi tidak perlu lagi tertumpu untuk Sungai Selangor yang menjadi punca untuk membekalkan air kepada penduduk negeri Selangor,” katanya.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif dalam mengintegrasikan aspek adaptasi dalam memerangi kesan perubahan iklim.

"Kita selalu bercakap mengenai mitigasi untuk mengurangkan perubahan iklim tetapi dalam keadaan negara pada hari ini, pendekatan mitigasi sahaja adalah tidak mencukupi.

"Kita juga perlu mengambil pendekatan adaptasi iaitu kita perlu terima bahawa perubahan iklim sudah berlaku kepada suatu tahap dan kita perlu menyesuaikan perubahan tersebut,” katanya. - Bernama