Pindaan Akta 342 akan dimurnikan terlebih dahulu: Khairy

Khairy Jamaludin - Foto Bernama
Khairy Jamaludin - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan dimurnikan terlebih dahulu sebelum ia dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga di Dewan Rakyat.

Menurutnya, pemurniaan ke atas pindaan itu bertujuan melindungi kepentingan rakyat agar tidak terbeban dengan nilai kompaun yang mungkin terlalu tinggi bagi sesetengah pihak.

"Pada masa yang sama menambah baik akta sedia ada untuk mencegah dan mengawal pandemik serta wabak dengan lebih berkesan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Khamis.

Ahli Parlimen Rembau itu menambah, beliau dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah menerima maklum balas daripada pelbagai pihak tentang pindaan Akta 342 terbabit.

“Saya bersama Ketua Pengarah Kesihatan telah adakan perbincangan lanjut bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seterusnya bersama whip kerajaan dan pihak pembangkang berhubung pindaan Akta 342.

“Pada perbincangan tersebut, ketua pembangkang dan kedua-dua whip kerajaan dan pembangkang bersetuju bahawa pindaan ini amat penting untuk membantu kerajaan menangani bukan sahaja pandemik Covid-19 tetapi juga pandemik-pandemik lain yang mungkin berlaku pada masa hadapan,” jelasnya.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil maklum tentang kebimbangan kedua-dua pihak tentang pindaan Akta 342 terbabit.

“Justeru, mengambil kira pandangan yang diberikan dan kepentingan kesihatan awam negara, KKM akan meneruskan sesi libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan dan meneliti semula RUU Pindaan Akta 342.

Artikel Berkaitan:

“RUU Pindaan Akta 342 seterusnya akan dibentangkan terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) pada Isnin, 20 Disember 2021 sebelum membentangkan bacaan kedua dan ketiga di Dewan Rakyat pada hari yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas isu sama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengucapkan terima kasih kepada KKM dan Khairy Jamaluddin atas keprihatinan untuk meminda semula Akta 342 itu.

Menerusi ciapan di Twitternya, Ahli Parlimen Pontian itu memaklumkan, pindaan itu melibatkan nilai kompaun kepada individu dan pertubuhan atau syarikat.

“Diberitakan bahawa Kementerian Kesihatan @KKMPutrajaya @Khairykj pinda RUU. Kompaun individu RM10,000 kepada hanya RM1,000.

“Untuk pertubuhan/syarikat RM1 juta kepada RM500,000 tapi hanya untuk syarikat besar. Terima kasih atas keprihatinan,” katanya.