Enam lagi lebuh raya setuju laksana pembayaran tol terbuka

Nanta (kanan) mendengar taklimat daripada pihak LLM semasa meninjau pelaksanaan projek lebuh raya di Seksyen 7 WCE di Persimpangan Assam Jawa-Tanjong Karang, Kuala Selangor pada Khamis.
Nanta (kanan) mendengar taklimat daripada pihak LLM semasa meninjau pelaksanaan projek lebuh raya di Seksyen 7 WCE di Persimpangan Assam Jawa-Tanjong Karang, Kuala Selangor pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Sebanyak enam lagi lebuh raya bersetuju melaksanakan Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT) bermula September depan, berbanding 12 lebuh raya ketika ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, enam lebuh raya itu ialah Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Linkedua, Lebuhraya Grand Saga, Lebuhraya Grand Sepadu dan Setiawangsa-Pantai (SPE).

Menurut beliau, usaha itu dilaksanakan Lembaga Lebuhraya (LLM) dan daripada enam lebuh raya itu, sebanyak 35 lorong akan dibuka bagi kemudahan SPT serta pengguna untuk membuat bayaran di setiap lorong plaza tol.

"Kalau dulu, pengguna jalan raya terhad dengan hanya menggunakan pembayaran Touch n Go, Smart Tag dan RFID, namun dengan SPT mereka turut diberi pilihan untuk membuat bayaran dengan kad kredit dan debit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau pelaksanaan projek lebuh raya di Seksyen 7 WCE di Persimpangan Assam Jawa - Tanjong Karang di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut Nanta berkata, setakat ini, sebanyak 12 syarikat konsesi lebuh raya di negara ini telah melaksanakan SPT sejak dilancarkan pada September tahun lalu.

Antaranya Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART).

Dalam pada itu, mengulas mengenai kejadian pokok tumbang di lebuh raya sehingga mengancam nyawa pengguna jalan raya, Nanta memberitahu, perkara itu telah dibincangkan beberapa kali dalam mesyuarat bersama kementerian lain sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mesyuarat itu membabitkan kementeriannya, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Kita telah berbincang tentang hal ini (kejadian pokok tumbang di lebuh raya) iaitu pihak (kementerian mana) sepatutnya bertanggungjawab tentang ROW (Right of Way) di Jalan Persekutuan.

"Kita sudah ada perbincangan dan kita hendak pastikan apa yang terbaik bagi menangani masalah itu dan siapa sepatutnya bertanggungjawab," jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!