Buka tawaran UiTM kepada bukan bumiputera dengan syarat

Ahmad Zaharuddin Sani
Ahmad Zaharuddin Sani
A
A
A

ALOR SETAR - Sudah tiba masanya Akta Universiti Teknologi Mara (UiTM) 1976 (Akta 173) yang hanya membenarkan kemasukan pelajar bumiputera dikaji semula mengikut keperluan semasa.

Bekas ahli akademik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, UiTM seharusnya membuka pintu kepada pelajar bukan bumiputera dengan bersyarat, iaitu hanya untuk kursus-kursus pasca siswazah.

Menurutnya, bagi program Diploma dan Ijazah pertama harus dikekalkan status qou kepada bumiputera.

“Kita jangan lupa, pada ketika ini UiTM telah lama membuka pintu pasca siswazah mereka kepada pelajar antarabangsa. Apakah bezanya buka tawaran kepada bukan bumiputera, kenapa kita anaktirikan warganegara sendiri, sebaliknya benarkan orang luar yang bukan warganegara menuntut ilmu di UiTM,” katanya di sini pada Khamis.

Mantan felo pelawat Universiti Melbourne itu berkata, membenarkan program-program pasca siswazah UiTM dibuka kepada bukan bumiputera juga akan dapat memenuhi keperluan pakar kesihatan dalam negara yang disifatkan kritikal pada ketika ini.

“Saranan saya hanya buka tawaran bersyarat kepada pasca siswazah. Sekiranya pelajar antarabangsa sudah diterima, peraturan mana yang telah dipinda sebelum ini?

“Tawaran tersebut bukan libatkan semua program, hanya benarkan bukan bumiputera dapatkan latihan bidang kardiotoraks di UiTM termasuk bidang-bidang kritikal dalam negara.

“Akta berkenaan wajar dirombak semula agar kemasukan pegawai perubatan bukan bumiputera dalam bidang kekurangan pakar dibolehkan, tindakan itu sama seperti kebenaran diberikan UiTM kepada pelajar antarabangsa,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut mantan Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir (IPDM) itu lagi, UiTM harus berlapang dada dan terbuka untuk membincangkan usul berkenaan.

“Suasana kini tak sama macam dahulu, sekarang kepakaran tertentu khususnya pakar kesihatan amat didambakan negara.

“Kita mahu bina negara dengan masyarakat majmuk, bertoleransi dan saling menerima antara satu sama lain, pada masa sama kita tak nak meminggirkan hak-hak tertentu yang sememangnya telah diberikan sejak azali tertubuhnya Tanah Melayu.

“Persoalannya, adakah polisi dasar tertutup UITM terutamanya untuk program pasca siswazah masih lagi relevan pada alaf baharu ini?” soalnya.

Ahmad Zaharuddin Sani berkata, biarpun UiTM dicadangkan dibuka kepada bukan bumiputera, namun program ijazah sarjana muda mahupun diploma perlu diisi oleh bumiputera.

“Saya merasakan komposisi masyarakat Malaysia di mana masyarakat bumiputera lebih tinggi, jadi kita sememangnya memerlukan sebuah institusi pengajian tinggi khusus untuk beri pendidikan asas peringkat tinggi kepada bumiputera.

“Hak itu harus kita jaga. Cuma perubahan diperlukan di peringkat lebih tinggi, iaitu pasca siswazah.

“Apakah yang menghalang untuk bumiputera bersama dengan bukan bumiputera duduk dalam dewan kuliah sama dan belajar menuntut ilmu, akhirnya kesemua mereka akan membina masa depan Malaysia yang baharu,” katanya lagi.

Jelasnya, setiap peraturan mahupun undang-undang dicipta untuk kesesuaian pada ketika itu, dan pemimpin negara tidak perlu takut untuk meminda undang-undang kerana perkembangan dunia sentiasa berubah.

“Saya ingin imbas kembali, pada 2019, Pro Canselor UiTM, Allahyarham Tan Sri Arshad Ayub pernah suarakan sudah tiba waktu untuk UITM membuka pintu kepada pelajar bukan bumiputera khususnya kursus pasca siswazah.

“Ini menunjukkan individu yang menerajui UiTM ketika itu juga berasakan begitu getirnya keperluan itu kerana kita perlukan persaingan sihat kalangan pelajar untuk keterbukaan, selain pengalaman menimba ilmu menerusi pelbagai budaya yang boleh mencorak masyarakat,” katanya yang pernah mengajar di UiTM pada awal kerjaya akademiknya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!