‘Saya tidak pernah diajar mengkafirkan sesiapa’

Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari menafikan dakwaan yang mengatakan bahawa partinya itu mengamalkan dasar mengkafirkan sesama umat Islam.

Katanya, amalan tersebut tidak pernah diajar mahupun diarahkan untuk dilakukan sepanjang penglibatannya bersama parti Islam itu.

“Sepanjang penglibatan saya di dalam Pas sehingga ke saat ini, saya tidak pernah diajar dan diarah untuk mengkafirkan sesiapa yang mengucapkan syahadah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas turut mempersoalkan sama ada mereka yang membuat tuduhan sedemikian pernah melakukan amalan itu ketika bersama Pas sebelum ini.

“Adapun golongan yang keluar Pas pada tahun 2015, saya ingin bertanya, adakah sepanjang tuan-tuan berada di dalam Pas, tuan-tuan benar-benar mengkafirkan golongan tertentu yang bersyahadah?

“Jika benar, maka patut sangatlah tuan-tuan keluar Pas kerana tuan-tuan sendiri tidak faham dasar parti yang tuan-tuan sertai,” katanya.

Budaya mengkafirkan sesama umat Islam dipercayai bermula daripada ucapan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dikatakan tersebar dalam kalangan anggota Pas pada 1981 di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu.

Dalam ucapan yang dikenali sebagai ‘Amanat Haji Hadi’ itu, Ahli Parlimen Marang mendakwa Pas menentang UMNO kerana parti berkenaan mengekalkan undang-undang kafir.

Artikel Berkaitan:

Pada 2019, isu tersebut telah dibangkitkan kembali susulan daripada usaha penyatuan yang dilakukan oleh parti tersebut bersama UMNO dalam membentuk Muafakat Nasional.

Bagaimanapun, perkara berkenaan pernah dinafikan oleh Abdul Hadi yang menyatakan bahawa parti Islam itu tidak pernah sesekali mengkafirkan orang.

Katanya, hak untuk mengkafirkan orang Islam bukan hak parti Islam tersebut dan ia juga bukan ajaran Islam yang sebenar.