Hamzah dipanggil menghadap Lembaga Disiplin Bersatu Khamis ini?

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin didakwa bakal dipanggil menghadap Lembaga Disiplin parti bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) serta serangan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua Pembangkang itu dijadualkan memberi keterangan pada Khamis ini, jam 12 tengah hari di Ibu Pejabat Bersatu, Petaling Jaya.
Berdasarkan surat yang didakwa sebagai notis panggilan kali kedua, ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan bertarikh 6 Februari, empat aduan disiplin secara bertulis telah dikemukakan terhadap Hamzah masing-masing pada 30 September 2025 dan 5 Februari lalu.
"Kami telah mengeluarkan notis panggilan pertama kepada Hamzah bertarikh 5 Oktober 2025 untuk satu sesi perjumpaan bersama Ahli Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu. Kami sudah bersidang dan memandang serius aduan disiplin yang diterima," menurut kandungan surat itu.
Notis sama turut menyenaraikan beberapa rumusan berdasarkan aduan terhadap Hamzah, termasuk dakwaan gagal menghalang beberapa pemimpin dan ahli parti daripada mengeluarkan kenyataan yang menyerang Muhyiddin serta mencemarkan imej Bersatu.
Ahli Parlimen Larut itu juga didakwa gagal menghalang rundingan dengan presiden parti komponen Perikatan Nasional (PN) tanpa mandat rasmi parti, termasuk perbincangan berkaitan Majlis Eksekutif PN yang ditolak Biro Politik dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
Hamzah juga didakwa mencemarkan imej Muhyiddin kerana membuat kenyataan kononnya tidak dijemput ke pertemuan membabitkan presiden parti komponen PN semasa menjawab pertanyaan media di Dewan Rakyat pada 28 Januari lalu.
Beliau turut didakwa terlibat dengan perancangan bagi tujuan mengumpul surat Akuan Bersumpah (SD) dengan memanipulasi ketetapan 'Retreat Gopeng'.
Sebelum ini, dua pemimpin Bersatu Selangor, Rafiq Abdullah dan Datuk Harisson Hassan menggesa Lembaga Disiplin untuk melakukan siasatan ke atas Hamzah, sekali gus mengambil tindakan termasuk memecatnya jika beliau terbukti bersalah menjadi punca krisis dalaman parti.
Rafiq turut mendesak Hamzah supaya berundur, namun penganalisis politik berpandangan Timbalan Pengerusi PN itu tidak akan melayan tuntutan sedemikian, sebaliknya cuma menunggu tindakan Bersatu.
Hamzah sebelum ini menafikan hubungannya dengan Muhyiddin sebagai tegang termasuk menolak dakwaan wujud dua kem dalam parti itu, selain mendakwa cerita sebegitu sengaja diada-adakan bagi mewujudkan perpecahan dalam Bersatu dan PN.
Bagaimanapun, beliau terus dikaitkan dengan dakwaan wujudnya usaha menyokong perpecahan dalaman parti, yang dipercayai membawa kepada beberapa tindakan disiplin, termasuk pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah serta penggantungan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Ringkasan AI
- Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainudin bakal dipanggil menghadap Lembaga Disiplin parti
- Dakwaan pembabitannya dalam kekecohan Perhimpunan Agung Tahunan serta serangan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Empat aduan disiplin secara bertulis telah dikemukakan terhadap Hamzah
- Hamzah didakwa gagal menghalang kenyataan yang menyerang Muhyiddin dan mencemarkan imej Bersatu
- Terlibat dalam perancangan mengumpul surat Akuan Bersumpah untuk memanipulasi ketetapan 'Retreat Gopeng'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

