'Keputusan PRU15 bukan asas tuntutan kerusi PRN Johor' - Ahmad Maslan

JOHOR BAHRU – Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak boleh dijadikan rujukan atau asas tuntutan kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan datang.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor 2022 akan terus dipertahankan.
“Amat sukar bagi mana-mana pihak lain untuk mengambil alih 40 kerusi tersebut.
“Perkara yang patut dihormati ialah kemenangan sedia ada. Pada PRU15, BN hanya memenangi sembilan daripada 26 kerusi Parlimen.
“Itu masalah PRU. Yang penting kita di Johor hendak PRN, bukan hendak PRU,” katanya ketika ditemui di Pasar Awam Benut di sini pada Ahad.
Pada PRN Johor 2022, UMNO dan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada DAP memenangi 10 kerusi, sementara PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.
Perikatan Nasional (PN) pula memenangi tiga kerusi, iaitu dua kerusi oleh Bersatu dan satu oleh Pas, manakala Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) turut memenangi satu kerusi.
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menegaskan bahawa sebarang perbincangan atau strategi politik perlu mengambil kira prinsip menghormati kemenangan sedia ada.
“Berdasarkan amalan dan prinsip Pilihan Raya Kecil (PRK) di negeri-negeri sejak tiga tahun kebelakangan ini, parti yang memenangi sesuatu kerusi lazimnya akan bertanding semula di kerusi tersebut.
“Kita boleh lihat dalam beberapa PRK seperti Pelangai, Mahkota, Nenggiri, Lamag dan Kinabatangan, kerusi yang dimenangi sebelum ini kekal ditandingi oleh parti yang sama,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan 40 kerusi DUN Johor yang dimenangi UMNO dan BN sewajarnya terus dipertahankan demi memastikan kestabilan politik negeri.
“Paling penting untuk kita menjaga dan mempertahankan kemenangan tersebut.
“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta kepimpinan bahagian sedia ada perlu memainkan peranan masing-masing,” katanya.
Pada Sabtu, media melaporkan Pakatan Harapan (PH) memberi tempoh dua bulan kepada Jawatankuasa Pilihan Raya gabungan itu untuk menyiapkan kajian menyeluruh bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, termasuk menilai kemungkinan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) seperti model pentadbiran Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, persiapan itu merangkumi kajian lapangan, penilaian strategi serta pendekatan kerjasama bagi memastikan keputusan yang dibuat tepat dan berkesan.
Ringkasan AI
- Keputusan PRU15 tidak boleh dijadikan asas tuntutan kerusi dalam PRN Johor
- UMNO Johor akan mempertahankan 40 kerusi DUN yang dimenangi
- Kemenangan sedia ada harus dihormati dalam merancang strategi politik
- UMNO dan BN memenangi majoriti kerusi dalam PRN Johor 2022
- Penting untuk menjaga kestabilan politik negeri dengan mempertahankan kerusi yang dimenangi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

