Sumbangan sekolah tidak boleh disertakan logo parti - Ahmad Fadhli

Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli
A
A
A

SHAH ALAM - Replika cek sumbangan yang mahu diserahkan kepada pihak sekolah tidak boleh disertakan logo parti kerana ia merupakan bantuan daripada kerajaan.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming seolah-olah melibatkan isu politik pada penyampaian sumbangan tersebut.

“Sudah tentu dalam isu ini, apabila diletakkan logo parti secara terang-terangan, ia mempunyai satu tempelan politik pada penyampaian sumbangan tersebut.

“Jadi saya fikir bahawa, menteri ini (Kor Ming) sudah gagal untuk menghormati undang-undang dan garis panduan yang disediakan oleh kerajaan sendiri,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di laman sosial, Facebook miliknya pada Khamis.

Sebelum ini, tular sekeping gambar memaparkan Ahli Parlimen Teluk Intan itu menyampaikan ‘mock cheque’ sumbangan dengan tertera logo parti DAP kepada beberapa buah sekolah dipercayai di Perak.

Bagaimanapun, Kor Ming memberi maklum balas bahawa perkara tersebut tidak sepatutnya dijadikan isu dan paling penting, sekolah berkenaan menerima manfaat daripada sumbangan berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli memberitahu, tindakan semberono itu seolah-olah menunjukkan bahawa tiada garis panduan daripada pihak kerajaan terhadap penyampaian sumbangan.

“Semasa berada di pihak kerajaan, kita juga buat penyampaian dan sebagainya tetapi kita tidak terlalu naif sehingga meletakkan logo parti pada replika cek tersebut kerana ia merupakan duit kerajaan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa kekecewaan kerana tidak dapat membantu sekolah dan guru-guru yang memohon sumbangan untuk melakukan aktiviti.

Ahmad Fadhli berkata, beliau terpaksa menerangkan kepada pihak sekolah bahawa kerajaan tidak memberi peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.