Persaudaraan, perpaduan umat Islam akan sentiasa diuji - Sultan Nazrin

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat tiba ke Majlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan Hadiah kepada Johan Tilawah dan Johan Hafazan Al-Quran di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis. - Foto: Bernama
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat tiba ke Majlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan Hadiah kepada Johan Tilawah dan Johan Hafazan Al-Quran di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah ikatan persaudaraan dan perpaduan dalam kalangan umat Islam, akan sentiasa diuji dengan pelbagai perkara yang akhirnya membawa kepada perpecahan dan persengketaan.

Baginda bertitah fitnah dan menyemaikan rasa benci kini semakin mempengaruhi pemikiran dan pendirian ummah, yang mendorong kepada pertelingkahan, keretakan hubungan dan perpecahan.

Sehubungan itu, baginda bertitah umat Islam sewajibnya memilih untuk melihat elemen persamaan, yang berupaya membina perpaduan ummah dalam semangat ‘biduk lalu kiambang bertaut’.

"Perpaduan ialah perkara yang wajib diutamakan dan dijiwai oleh insan yang menghayati roh Islam, kerana Islam ialah agama yang menekankan kepada aspek keamanan dan perdamaian.

"Umat Islam adalah bersaudara atas dasar tautan roh, yang seharusnya berperanan memperkukuh rasa kasih sayang, saling hormat-menghormati serta bersikap sopan terhadap orang lain,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Majlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan Hadiah Tilawah dan Menghafaz Al-quran Peringkat Antarabangsa Ke-63 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Khamis.

Sementara itu, Sultan Nazrin turut bertitah persaudaraan insaniah yang terjalin, diperkukuhkan dengan semangat persaudaraan yang berpegang pada satu akidah, terbina dari dasar tauhid yang mengaku tiada tuhan disembah melainkan Allah.

Titah baginda, masyarakat yang kuat terbina melalui perpaduan yang kukuh dan disebabkan itu, perpaduan sangat dianjurkan dan diterapkan menerusi amalan-amalan ibadah seperti solat berjemaah, solat Jumaat, bertadarus al-Quran, berqiamullail di masjid.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga falsafah yang tersirat di sebalik ibadah-ibadah zakat, sedekah, wakaf dan haji, juga tuntutan melakukan pelbagai tanggungjawab fardu kifayah,” titah baginda. - Bernama