Kor Ming dinasihatkan lebih berhati-hati guna istilah Islam

SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker menasihatkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya lebih berhati-hati dalam penggunaan istilah agama Islam khususnya ayat al-Quran.
Menurut beliau, penggunaan yang terlalu kerap oleh Nga Kor Ming boleh menimbulkan persepsi negatif dan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat Melayu.
Tambah Lian Ker, petikan undang-undang dan Perlembagaan seharusnya digunakan sebagai nas atau autoriti dalam perbahasan di Dewan Rakyat.
"Gunalah bahasa perundangan yang jelas, jitu dan neutral sebagai panduan dan sempadan yang boleh menyampaikan mesej secara berkesan serta menegakkan keluhuran Perlembagaan.
"Di Malaysia, sensitiviti agama merupakan perkara yang amat penting dan perlu ditangani dengan penuh adab serta rasa hormat," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Lian Ker berkata, konteks penggunaan perkataan Islam di negara ini berbeza dengan justifikasi dan amalan masyarakat bukan Islam di Timur Tengah.
"Di negara ini, agama telah lama dipolitikkan maka kekerapan Kor Ming menggunakan petikan dan istilah agama Islam pasti akan mempunyai implikasi dan emosi politik yang boleh membawa padah atau mengeruhkan keadaan.
"Apabila istilah-istilah agama ini digunakan secara terlalu kerap oleh ahli politik bukan Islam dalam konteks politik, ia mudah menimbulkan salah faham, rasa kurang selesa, serta persepsi bahawa agama Islam sedang dipolitikkan oleh politikus bukan Islam," ujarnya lagi.
Tambahnya, tindakan sedemikian boleh dianggap kurang sensitif dan tidak menghormati atau selari dengan realiti sosiopolitik Malaysia.
Meskipun mempunyai niat yang baik, Lian Ker berkata, persepsi dan sensitiviti umat Islam perlu diberi keutamaan dan ditimbang secara bijaksana.
"Diharapkan sebagai seorang menteri berprofil tinggi, dapat mempertimbangkan perkara ini dengan serius demi memelihara keharmonian, kestabilan emosi masyarakat, serta perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini," katanya.
Ringkasan AI
- Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker menasihatkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya berhati-hati dalam penggunaan istilah agama Islam
- Penggunaannya yang terlalu kerap boleh menimbulkan persepsi negatif dan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat Melayu
- Petikan undang-undang dan Perlembagaan disarankan digunakan sebagai nas atau autoriti dalam perbahasan
- Sensitiviti agama di Malaysia sangat penting dan perlu ditangani dengan penuh adab serta rasa hormat
- Kekerapan penggunaan istilah agama oleh bukan Islam dalam konteks politik boleh menimbulkan salah faham dan dipandang sebagai langkah yang kurang sensitif
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

