PH akan muktamadkan pendekatan, strategi hadapi PRN tiga negeri

ALOR SETAR - Pakatan Harapan (PH) dijangka memuktamadkan pendekatan dan strategi gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Johor dan Sarawak dalam tempoh terdekat.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Majlis Sekretariat PH yang bermesyuarat minggu lepas telah meminta Jawatankuasa Pilihan Raya PH membuat persiapan awal, termasuk merangka strategi menghadapi pilihan raya berkenaan.
"Antara perkara yang akan dipertimbangkan adalah sama ada model kerjasama Kerajaan Perpaduan ketika ini, iaitu Barisan Nasional (BN) dan PH bergabung di bawah satu kerajaan akan diguna pakai dalam PRN akan datang,” katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, semua cadangan dan pendekatan itu akan dibentangkan melalui kertas strategi yang sedang disediakan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya PH dan dijangka siap dalam tempoh satu hingga dua bulan.
Terdahulu, Saifuddin Nasution yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah melakukan lawatan ke tapak projek Pusat Kemudahan Perniagaan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di sini. - Bernama
Ringkasan AI
- Pakatan Harapan (PH) dijangka memuktamadkan pendekatan dan strategi gabungan untuk PRN Melaka, Johor dan Sarawak
- Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, persiapan awal termasuk strategi menghadapi pilihan raya sedang dirancang
- Pertimbangan sama ada menggunakan model kerjasama Kerajaan Perpaduan antara BN dan PH untuk PRN akan datang
- Cadangan dan pendekatan akan dibentangkan melalui kertas strategi yang sedang disediakan, dijangka siap dalam satu hingga dua bulan
- Saifuddin Nasution melakukan lawatan ke tapak projek Pusat Kemudahan Perniagaan KEDA
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

