Peguam BN-PH bidas Pemuda Pas isu 'makan' hasil parti

Nik Saiful. Kenyataan Pemuda Pas Kelantan di Facebook mereka pada Ahad.
Nik Saiful. Kenyataan Pemuda Pas Kelantan di Facebook mereka pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Peguam Barisan Nasional (BN), Nik Saiful Adli Burhan mewakili barisan peguam BN dan Pakatan Harapan (PH) menyifatkan kenyataan Pemuda Pas menggambarkan bahawa firma guaman peguam penyokong gabungan itu tidak hidup dan bergantung kepada hasil parti adalah suatu fitnah yang jahat.

Beliau merujuk kepada satu hantaran yang dibuat oleh Pemuda Pas Kelantan di Facebook mereka pada Ahad yang menyebut "Pemuda Pas Kelantan melihat situasi terdesak parti Kerajaan Madani menggunakan undang-undang dalam berdepan pihak lawan mereka. Boleh jadi sebagai langkah menghidupkan firma-firma guaman milik ahli mereka,".

Menurutnya yang juga merupakan Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam Dan Intelek Kelantan, kebanyakan peguam BN-PH membantu parti atas kapasiti peribadi sebagai penyokong parti, bukan mewakili keseluruhan firma guaman ataupun sebahagian daripada perniagaan.

"Ramai antara kami yang memberikan khidmat guaman secara probono atau percuma kepada parti.

"Malah ada firma guaman seperti cawangan firma guaman saya, langsung tidak mendapat kelebihan lantikan panel peguam kerajaan mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana khidmat kepada parti," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Menurut beliau, kenyataan itu bukan sahaja kepada peguam-peguam BN-PH tetapi secara keseluruhan kepada profesion guaman dan keseluruhan peguam-peguam di Kelantan.

"Kami faham kejahilan Pemuda Pas dalam adab bertutur kata dan sentiasa memaafkan mereka.

"Semoga Pemuda Pas kembali mencari jalan benar, merujuk kepada ajaran Islam yang sebenar dan bersama bekerja dalam membawa perpaduan kepada rakyat Kelantan, bukannya mencari titik perbalahan yang akhirnya merosakkan nama agama Islam yang dibawa dalam nama parti," katanya.

Artikel Berkaitan: