Rombakan Kabinet demi laluan Ahmad Faizal ke Putrajaya?

Ahmad Faizal dijangka diberi tempat di peringkat Persekutuan, selaras dengan jawatannya sebagai orang nombor dua parti.
Ahmad Faizal dijangka diberi tempat di peringkat Persekutuan, selaras dengan jawatannya sebagai orang nombor dua parti.
A
A
A

SHAH ALAM - Rombakan Kabinet didakwa akan berlaku dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada ADUN Chenderiang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang hilang kepercayaan sebagai Menteri Besar di Dewan Undangan Negeri Perak semalam.

Astro Awani melaporkan, lebih daripada seorang menteri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipercayai bakal mengosongkan portfolio masing-masing untuk tujuan itu.

Memetik sumber, langkah tersebut dipercayai sebahagian daripada rombakan Kabinet.

“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah pun berjumpa dengan dua menteri berkenaan, selepas selesai mesyuarat Kabinet di Putrajaya semalam.

"Menteri-menteri berkenaan paling tinggi dalam senarai (pengguguran) sekiranya Perdana Menteri perlu menggugurkan ahli Kabinet untuk memberi laluan kepada yang lain,” kata sumber tersebut.

Ahmad Faizal telah dipilih sebagai Timbalan Presiden Bersatu selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan Bersatu Julai lepas.

Justeru, susulan situasi yang berlaku di Perak semalam, kemungkinan Ahmad Faizal bakal diberi tempat di peringkat Persekutuan, selaras dengan jawatannya sebagai orang nombor dua parti.

Bagaimanapun menurut laporan Astro Awani, Ahmad Faizal berkata, beliau mahu memberikan tumpuan kepada Perak, biarpun sebagai ADUN biasa.

Artikel Berkaitan:

"Saya fikir buat masa sekarang ini saya rehat dulu. Tetapi terkejut juga pagi tadi (semalam) datang pejabat menteri besar, petang dah hilang jawatan... rasa pening juga. Tapi 'let me just focus on' kerja-kerja di kawasan dulu, 'I’m not thinking about any other position'.

"Saya mohon kepada semua ahli Bersatu, semua rakyat, semua penyokong UMNO yang berjaya mengeluarkan saya supaya bersabar, tak payah nak bakar mercun raikan kejayaan itu, kepada Bersatu pula bersabar tak payah nak bergaduh, tak payah tak bertegur sapa, suami-isteri anak beranak tak payah nak putuskan silaturahim kerana alasan politik," menurut laporan itu.

Semalam, Ahmad Faizal disahkan hilang sokongan majoriti selepas usul undi percaya yang dibuat ke atasnya tidak mendapat sokongan majoriti ADUN Perak.

Usul undi percaya yang dibawa oleh Datuk Abd Manaf Hashim (BN-Pengkalan Baharu) itu mendapat 10 undi sokongan, 48 undi menolak manakala satu undi rosak menerusi undi belah bahagi.

Perkara itu diumumkan oleh Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid yang menerima usul berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Nazrin nasihat cari formula terbaik bentuk kerajaan

'Berilah saya selesaikan tanggungjawab'

Tolak Bersatu punca Ahmad Faizal dijatuhkan: Isham

MB Perak hilang sokongan majoriti