80 kanak-kanak di depot Imigresen dipindah dalam masa terdekat

Saifuddin Nasution (tengah) ketika sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya, pada Selasa.
Saifuddin Nasution (tengah) ketika sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya, pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seramai 80 kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah yang berada di Depot Tahanan Sementara Imigresen akan dipindahkan ke premis penjagaan di Nilai, Negeri Sembilan dalam masa terdekat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, inisiatif tersebut sebagai usaha permulaan kementerian untuk menyediakan persekitaran lebih kondusif kepada kanak-kanak berbanding sedia ada.

"Ini akan menjadi permulaan untuk mengeluarkan kanak-kanak dari depot supaya mendapat penjagaan lebih manusiawi," katanya menerusi sidang akhbar selepas majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini pada Selasa.

Menurutnya, projek rintis itu kini berada di peringkat akhir.

"Yang tinggal sekarang aspek logistik seperti alas tidur, bekalan air dan elektrik serta beberapa penambahbaikan lain," ujarnya.

Beliau berkata, kanak-kanak warga asing itu tersebut terdiri daripada penghuni Depot Tahanan Sementara Imigresen Bukit Jalil, Semenyih dan KLIA.

"Sekiranya mereka mempunyai penjaga, kanak-kanak ini akan dikeluarkan bersama penjaga mereka," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif tersebut membabitkan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua jabatan ini mempunyai aspek kawalan dan penjagaan seperti biasa serta tidak melibatkan pertambahan anggota," katanya.

Saifuddin berkata, kanak-kanak tersebut akan ditempatkan di premis berkenaan sehingga proses penghantaran pulang ke negara asal dapat dilakukan.

"Kami akan berhubung dengan kedutaan dan sehingga dokumen perjalanan mereka dikeluarkan.

Matlamat akhir adalah untuk mengembalikan mereka ke negara asal," jelas beliau.

Ditanya sama ada mengenai elemen pendidikan disertakan di premis berkenaan, Saifuddin mengalu-alukan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO).

"Kami berharap ini akan mendapat dukungan juga daripada masyarakat sivil yang lain," katanya yang turut menambah bahawa pembukaan premis tersebut menelan kos minimun dengan peruntukan sedia ada.

Sementara itu, dalam ucapannya Saifuddin mengarahkan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh segera mendapatkan mesin pencetak pasport berkapasiti tinggi yang mampu mengeluarkan lebih 1,000 pasport setiap hari.

Menurutnya, langkah tersebut bagi mengurangkan kesesakan di pejabat pengeluar pasport selain menjamin keselesaan untuk rakyat.

"Apa sahaja yang boleh kita bagi keselesaan untuk rakyat, kena buat," katanya pada Selasa.

Beliau berkata, pada ketika ini, hanya sekitar 400 pasport mampu dikeluarkan oleh Imigresen di pejabat pengeluar setiap hari.

"Kalau yang datang itu nombor gilirannya 401 dan kena datang esok hari, sudah tentu mereka marah," jelasnya.