Lima kepala manusia digantung di pantai pelancongan

Anggota polis melakukan siasatan di lokasi kejadian di mana lima kepala manusia ditemukan tergantung. - Agensi
Anggota polis melakukan siasatan di lokasi kejadian di mana lima kepala manusia ditemukan tergantung. - Agensi
A
A
A

PUERTO LOPEZ- Lima kepala manusia ditemui tergantung pada tali di sebuah pantai popular pelancong di Puerto Lopez, Ecuador pada Isnin dalam satu lagi insiden keganasan geng dadah yang menggemparkan negara itu.

Pihak polis memberitahu, kepala-kepala tersebut digantung pada tiang kayu dan ditempatkan berhampiran papan tanda amaran, dipercayai dilakukan oleh kartel dadah sebagai isyarat terus kepada pesaing mereka.

Ecuador telah lama menjadi laluan utama penyeludupan kokain ke Amerika Utara dan Eropah.

Menurut pihak berkuasa, banyak kumpulan dadah menggunakan nelayan tempatan dan bot kecil untuk mengangkut dadah.

Keganasan geng dadah di wilayah Manabi dan pesisir Ecuador semakin memburuk sejak 2020, termasuk serangan bersenjata, penyeludupan, dan pelbagai insiden brutal lain.

Tahun 2025 mencatatkan rekod paling ganas di Ecuador dengan lebih 9,000 pembunuhan dilaporkan.

Pihak kerajaan telah mengisytiharkan darurat di sembilan daripada 24 wilayah termasuk Manabi dan meningkatkan kawalan serta operasi pengawasan di Puerto Lopez susulan penemuan kepala-kepala tersebut.

Presiden Ecuador, Daniel Noboa berkata, negara itu mengawal hampir 70 peratus kokain dunia, menjadikan ia sasaran utama kartel dadah antarabangsa.

Seorang ketua polis tempatan menggambarkan kawasan pesisir sebagai ''seperti kubur dengan serpihan tubuh manusia berselerak", menggambarkan betapa ganasnya konflik antara geng dadah dan pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

Jalan-jalan di Durán, bandar berdekatan, dipenuhi grafiti milik geng Los Tiguerones yang berbunyi 'Tuhan, Aman, Kebebasan', menunjukkan pengaruh geng terhadap masyarakat tempatan.

Keganasan berterusan itu telah menyebabkan pejabat luar United Kingdom menasihatkan rakyatnya supaya mengelak perjalanan ke wilayah Manabi dan enam lagi kawasan di Ecuador, kecuali untuk urusan penting.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!