X

Kindly register in order to view this article
!

Sultan Nazrin nasihat cari formula terbaik bentuk kerajaan

Annuar ketika bercakap kepada pemberita di pekarangan luar Istana Kinta, Ipoh hari ini.
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menasihatkan semua pemimpin parti di Perak mencari fomula terbaik untuk menubuhkan kerajaan baharu di negeri ini.

Ia susulan perkembangan terbaharu politik selepas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) gagal memperoleh sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul undi percaya yang dikemukakan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam.

Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, pagi tadi Sultan Nazrin berkenan menerima menghadap tiga pemimpin parti Pakatan Harapan (PH) Perak masing-masing daripada DAP, Parti Keadikan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) sebelum disusuli Pengerusi UMNO Perak.

Menurutnya, selain menyembah maklum pandangan, keempat-empat pemimpin parti itu turut menyatakan pendirian yang dipegang serta usaha dilakukan ketika ini bagi membentuk kerajaan yang cukup majoriti.

"Atas permintaan mereka, Tuanku memberi perkenan menghadap, mereka menyembahkan pandangan mereka tentang keadaan semasa dan pendirian parti dalam suasana politik di Perak sekarang.

"Segala pandangan itu didengari, tetapi bukanlah tanggungjawab baginda campur tangan dalam urusan masing-masing. Sultan hanya boleh menasihatkan dan carilah formula terbaik untuk menubuhkan kerajaan dan pimpinan baharu di negeri Perak," katanya kepada pemberita yang menunggu di pekarangan luar Istana Kinta di sini hari ini.

Beliau turut memberitahu, bahawa Sultan Nazrin berkenan menerima menghadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Istana Kinta, esok pada jam 10 pagi.

"Kita difahamkan mereka (UMNO) masih dalam perundingan dan malam ini juga dimaklumkan UMNO akan adakan mesyuarat khas parti," katanya.

Terdahulu, tiga pengerusi parti gabungan dalam PH Perak tiba di pekarangan Istana Kinta untuk menghadap sembah Sultan Nazrin berhubung kemelut politik di negeri ini.

Mereka adalah Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, Pengerusi PKR, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi Amanah, Datuk Asmuni Awi.

Pertemuan berlangsung selama hampir satu jam dan selang beberapa minit kemudian, Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad tiba untuk menghadap sebelum keluar selepas 20 minit kemudian.

Usul yang dikemukakan kepada Menteri Besar Perak semalam tidak memihak kepada Ahmad Faizal apabila menyaksikan hanya 10 undi menyokong, 48 undi menolak manakala satu undi rosak.

Perak mempunyai 59 ADUN yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN) 25, Bersatu 5, Pas 3, DAP 16, PKR 3, Amanah 5 dan masing-masing satu kerusi milik Gerakan dan Bebas.

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Perak terima menghadap tiga pemimpin PH

Saarani tunjuk tanda bagus selepas menghadap Sultan Perak


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!