Bau busuk bongkar penemuan mayat dalam kereta

MELAKA – Mayat seorang lelaki ditemukan di dalam sebuah kereta di kawasan parkir Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini pada Selasa.
Kejadian disedari kira-kira jam 1.30 tengah hari selepas orang awam terhidu bau busuk sebelum menemui mayat berkenaan di tempat duduk pemandu kereta Nissan Almera dalam keadaan muka terlangkup di stereng.
Seorang saksi, Zuhair Kamarudin, 24, berkata, dia bersama rakannya, Khairul Ikhwan Abdol Shah, 24, pada awalnya menyangka bau tersebut berpunca daripada bangkai kucing.

“Kami datang untuk makan di sebuah kedai berhampiran dan terhidu bau busuk seperti bangkai kucing tetapi tidak menjumpai apa-apa.
“Selepas selesai makan, kami ternampak sebuah kereta dengan tayar kanan hadapan pancit. Apabila menjengah ke dalam kereta, kami lihat ada orang di kerusi pemandu dan keadaan kulitnya sudah teruk,” katanya.
Zuhair berkata, kenderaan itu dalam keadaan enjin dimatikan.

Ujarnya, mereka kemudian segera menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian terbabit.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi sekitar jam 2 petang mendapati anggota polis dan bomba sedang menjalankan siasatan serta dalam proses mengeluarkan mayat mangsa dari kenderaan berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan berhubung kes tersebut.
Ringkasan AI
- Mayat lelaki ditemukan di dalam kereta di kawasan parkir MITC Ayer Keroh
- Kejadian disedari apabila orang awam terhidu bau busuk
- Saksi awalnya menyangka bau tersebut berpunca dari bangkai kucing
- Kereta ditemukan dengan tayar pancit dan enjin mati
- Polis dan bomba sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

