ALOR SETAR - Beberapa cebisan kertas al-Quran dipercayai dibakar dan ditemui di kawasan medan selera, dekat Pasar Besar Alor Setar, di sini, semalam.

Ia dipercayai dilakukan seorang lelaki yang mengalami masalah mental dan dikatakan sering berkeliaran di kawasan tersebut.

Kejadian itu mula disedari seorang lelaki bersama seorang anak perempuannya yang mahu membeli barangan keperluan di pasar besar tersebut kira-kira jam 9.30 pagi.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Fauzi, 53, berkata kedua-dua saksi itu menemuinya ketika dia sedang melakukan rutin harian dan menunjukkan lokasi kejadian.

“Saya terkejut memang ada satu cebisan kertas ayat al-Quran atas tong sampah serta dua lagi di dalamnya yang mempunyai kesan terbakar.

“Saya terus menghubungi polis serta Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurut sumber Jaik, kertas itu adalah cebisan al-Quran yang dibakar namun kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

“Memang kita dapat maklumat ada orang bakar al-Quran tapi hanya tinggal cebisan. Kita tidak tahu bila ia berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, pemangku Ketua Polis Kedah, Datuk Zakaria Yusof mengesahkan kejadian dan mengesyaki ia dilakukan suspek yang kurang siuman dan polis juga masih belum membuat tangkapan.

“Polis menerima panggilan kira-kira jam 10 pagi tadi (semalam) mengenai kebakaran kertas menyerupai al-Quran. Kita bersama Jaik serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahagian percetakan ke sana untuk membuat siasatan.

“Isu ini akan disiasat segera bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan ketidakharmonian dalam kalangan kaum dan bangsa. Semua pihak diharap tidak membuat spekulasi serta memperbesarkannya,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.