Pegawai syariah, peguam syarie ditahan disyaki terlibat kes kartel hibah
JOHOR BAHRU – Seorang pegawai syariah dan peguam syarie direman selama tujuh hari disyaki terlibat dalam kes meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM91,000 berkaitan pengeluaran Perintah Pengesahan Hibah bagi tujuan pertukaran hak milik.
Perintah reman sehingga 20 Januari ini terhadap kedua-dua suspek diluluskan oleh Majistret Ahmad Khairuddin Khalid selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Rabu.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40 dan 50-an itu ditahan secara berasingan kira-kira jam 8 malam pada Selasa ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Johor.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2016 hingga 2018.
“Mereka disyaki menerima wang rasuah secara tunai daripada 13 individu penerima hibah dengan anggaran RM7,000 bagi setiap orang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Ringkasan AI
- Seorang pegawai syariah dan peguam syarie direman selama tujuh hari disyaki terlibat rasuah RM91,000
- Perintah reman dikeluarkan untuk pengesahan hibah dan pertukaran hak milik
- Kedua-dua suspek lelaki ditahan di Pejabat SPRM Johor
- Kesalahan dilakukan antara tahun 2016 hingga 2018
- Menerima wang rasuah dari 13 individu, anggaran RM7,000 setiap satu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

