Tindakan tidak senonoh lelaki di kedai barangan kosmetik tular di media sosial

Tangkap layar gambar seorang lelaki bertindak tidak senonoh selepas memasuki sebuah kedai barangan kosmetik di Kuantan.
Tangkap layar gambar seorang lelaki bertindak tidak senonoh selepas memasuki sebuah kedai barangan kosmetik di Kuantan.
A
A
A

KUANTAN – Tular di media sosial satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan tidak senonoh seorang lelaki di sebuah kedai menjual barangan kosmetik, di sini pada Selasa.

Rakaman berdurasi satu minit 48 saat itu dikongsi sendiri oleh pemilik kedai menerusi akaun TikTok miliknya sebagai amaran kepada orang ramai, khususnya golongan wanita yang bekerja di premis perniagaan.

Menerusi rakaman tersebut, lelaki berkenaan dilihat berpura-pura melihat barangan di rak sebelum menghampiri kawasan kaunter yang ketika itu dijaga dua kakitangan wanita.

“Hati-hati warga Kuantan. Pemain acara Angry Bird bebas,” tulis kapsyen pada hantaran yang kini tular di aplikasi TikTok itu.

Individu terbabit kemudiannya beredar dari kedai berkenaan, manakala para pekerja yang kesemuanya wanita dilaporkan berada dalam keadaan cemas susulan kejadian tersebut.

Pemilik kedai memaklumkan, langkah pembersihan segera telah diambil sebagai tindakan keselamatan dan kebersihan.

“Info penting! Pekerja telah pun menyamak (membersihkan) semua barangan di dalam kedai,” tulisnya di kapsyen.

Rata-rata warga maya meluahkan kebimbangan mereka, terutama bagi golongan wanita yang bekerja di premis serbaneka 24 jam dan meminta pihak berkuasa segera mengesan individu terlibat.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah mengesahkan bahawa setakat ini tiada laporan diterima berhubung kejadian berkenaan.

Ringkasan AI

  • Rakaman CCTV tular menunjukkan tindakan tidak senonoh lelaki di kedai kosmetik Kuantan
  • Rakaman itu dikongsi oleh pemilik kedai di TikTok sebagai amaran
  • Lelaki tersebut berpura-pura melihat barangan sebelum mendekati kaunter yang dijaga wanita
  • Pekerja kedai wanita dalam keadaan cemas, langkah pembersihan segera diambil
  • Tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!