'Jangan buat apa-apa spekulasi, biar polis siasat'-Bapa mangsa

SRI AMAN - Ahli keluarga kepada pasangan suami isteri yang ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tragis di sebuah kediaman di Taman Mutiara, Jalan Brayun, di sini meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan.
Bapa kepada mangsa wanita, Kibin Jaya, 68, berkata, pihak keluarga memberikan kepercayaan penuh kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kes itu.
"Biarlah pihak polis menyiasat, biar mereka lihat apakah bukti-bukti atau sebabnya.
"Buat masa ini, saya minta jangan buat apa-apa spekulasi. Kita tunggu keputusan siasatan penuh pihak polis.
"Kita takut untuk mengeluarkan apa-apa kenyataan kerana dibimbangi menganggu siasatan memandangkan kes ini melibatkan kematian yang agak serius," katanya ketika dipetik menerusi laporan Suara Sarawak, pada Rabu.
Menurut Kibin, beliau kerap berkunjung ke kediaman anak dan menantunya itu, namun tidak menyedari sebarang perubahan tingkah laku pasangan berkenaan sebelum kejadian berlaku.
"Ada berjumpa, memang saya selalu ke sini (kediaman mangsa) dan masing-masing tidak menunjukkan sebarang perubahan," katanya yang juga pesara guru.
Beliau turut memaklumkan akan mengambil alih tanggungjawab menjaga ketiga-tiga anak mendiang yang juga cucunya.
Sebelum itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan seorang lelaki berusia 45 tahun dan isterinya berusia 44 tahun ditemukan meninggal dunia di kediaman mereka pada awal pagi Rabu.
Kedua-dua mangsa ditemui dengan kesan kecederaan serius dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, mangsa lelaki, Andy Roy Anak Junran, merupakan guru besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sebangki, manakala isterinya, Angelin Kibin, bertugas sebagai jururawat di Hospital Sri Aman.
Pasangan itu meninggalkan tiga orang anak, masing-masing berusia sembilan, 16 dan 17 tahun.
Ringkasan AI
- Keluarga pasangan suami isteri yang ditemukan meninggal meminta orang ramai tidak membuat spekulasi tentang kejadian
- Keluarga berikan kepercayaan penuh kepada polis untuk siasatan
- Pasangan itu ditemukan dengan kesan kecederaan serius dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan
- Keluarga tidak menyedari sebarang perubahan tingkah laku pasangan tersebut sebelum kejadian
- Bapa kepada mangsa wanita akan mengambil alih tanggungjawab menjaga ketiga-tiga anak mendiang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
