Sindiket pindah minyak bersubsidi terbongkar

BUTTERWORTH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya membongkar tiga aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi menerusi Ops Tiris 3.0 hasil tiga serbuan berasingan di sekitar Sungai Bakap dan Butterworth.
Pengarah KPDN Pulau Pinang, RS Jegan berkata, kejayaan itu hasil risikan selama kira-kira sebulan yang dilakukan pihaknya sebelum membuat serbuan pada pagi Selasa dan Rabu.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati ketiga-tiga lokasi terbabit terlibat dalam kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi, khususnya minyak masak paket satu kilogram.
"Bagi dua kes yang dikenal pasti, modus operandi digunakan adalah dengan memotong bungkusan minyak masak paket 1kg sebelum memindahkannya ke dalam tong tangki putih lutsinar (IBC).
"Tindakan ini dipercayai bertujuan mengubah bentuk asal barang kawalan bagi penjualan semula secara tidak sah atau penyimpanan tanpa kebenaran," katanya ketika ditemui pemberita di salah satu lokasi serbuan, pada Rabu.

Jegan berkata, bagi kes ketiga pula, pemilik stor gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan lesen atau permit untuk memiliki dan mengurus barang kawalan berjadual seperti diwajibkan di bawah undang-undang.
Jelasnya, hasil pemeriksaan lanjut menemui anggaran 1,600 kilogram minyak masak paket 1 kilogram dan 944 kilogram minyak masak dalam bekas tong plastik hitam.
Turut dirampas ialah 300 unit plastik kosong minyak masak paket 1 kilogram, 2,000 liter cecair disyaki minyak masak berwarna gelap, dua unit tong tangki plastik hitam serta dua unit tangki IBC berkapasiti 1,000 liter.
"Selain itu, peralatan pemindahan seperti motor pam bersama hos, corong minyak masak, pisau pemotong plastik serta pelbagai tong berkapasiti 17 kilogram turut ditemui.
"Turut dirampas tong yang mengandungi minyak masak dianggarkan seberat 2,278 kilogram.
"Keseluruhan barangan dan beberapa dokumen berkaitan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM25,962.40,"katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, Jegan berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga stor berkenaan telah beroperasi antara dua hingga enam bulan tanpa dokumen lesen atau permit sah.
Katanya, dua lelaki warganegara tempatan berusia lingkungan 30-an dan 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan,” katanya.
Ringkasan AI
- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Pulau Pinang membongkar tiga aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi
- Kejayaan ini hasil risikan selama kira-kira sebulan
- Dua kes melibatkan modus operandi memindahkan minyak masak ke dalam tong tangki putih lutsinar untuk penjualan semula secara tidak sah
- Pemilik stor gagal mengemukakan dokumen berkaitan lesen untuk memiliki dan mengurus barang kawalan
- Barangan dan dokumen rampasan bernilai RM25,962.40, dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

