Dua lelaki ditahan bersama dadah bernilai RM347,000

GEORGE TOWN - Dua lelaki ditahan bersama dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) yang dianggarkan bernilai RM347,000 dalam satu serbuan di sekitar kawasan George Town di sini, pada awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kedua-dua suspek berusia 47 dan 53 tahun ditahan pasukan operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut kira-kira jam 3.53 pagi.
Menurutnya, hasil serbuan itu polis merampas sebanyak 130 paket plastik pelbagai warna yang setiap satunya berisi serbuk dipercayai dadah jenis MDMA dengan anggaran berat keseluruhan 2,078.2 gram.
"Nilai rampasan dadah tersebut dianggarkan berjumlah RM347,000 dan boleh digunakan oleh seramai 6,928 orang penagih atau 6,928 kali penggunaan.

"Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah tersebut sejak Oktober tahun lalu bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan,"katanya dalam satu kenyataan media, pada Rabu.
Dalam perkembangan sama, Abdul Rozak berkata tindakan pelucuthakan harta turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.
Antara yang disita ialah tiga buah kenderaan, sejumlah wang tunai serta seutas cincin dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM277,800.
Beliau berkata, saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
"Semakan rekod lampau pula mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod jenayah manakala suspek kedua mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah," katanya.
"Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,"katanya lagi.
Ringkasan AI
- Dua lelaki ditahan bersama dadah jenis MDMA bernilai RM347,000 di George Town
- Kedua-dua suspek berusia 47 dan 53 tahun ditahan jam 3.53 pagi oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik
- Polis merampas 130 paket plastik berisi serbuk MDMA dengan berat keseluruhan 2,078.2 gram
- Hasil siasatan menunjukkan suspek aktif dalam pengedaran dadah sejak Oktober tahun lalu
- Barang rampasan termasuk tiga kenderaan, wang tunai dan cincin dengan nilai keseluruhan RM277,800
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

